X

Kindly register in order to view this article
!

Indeks jenayah Sungai Buloh menurun

Noor Azam (tengah) dalam sidang media selepas Program Neighbourhood Watch Polis Selangor Siri 2/2020 di SEERS Berhad, di U5 Shah Alam, hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Jenayah indeks di daerah Sungai Buloh mencatatkan penurunan sebanyak 30.84 peratus atau 165 kes pada tahun ini bagi tempoh Januari sehingga Julai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pada tahun ini, sebanyak 370 kes direkodkan berbanding tahun lalu bagi tempoh sama yang mencatatkan 535 kes.

Katanya, bagi kawasan industri pula, hanya satu kes dilaporkan berbanding tahun 2019 dengan 14 kes.

"Dapat dirumuskan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh telah merancang tindakan pencegahan jenayah dengan amat baik dan berkesan.

"Selain itu, faktor lain yang menyumbang penurunan indeks jenayah adalah program pencegahan jenayah yang dilakukan sepanjang tahun serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika koronavirus (Covid-19)," katanya dalam sidang media selepas Program Neighbourhood Watch Polis Selangor Siri 2/2020 di SEERS Berhad, di U5 Shah Alam, di sini hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Pengarah SEERS Berhad, Datuk Ken Foo Kwok Hsing serta pegawai-pegawai kanan Polis Selangor.

Program ini untuk meningkatkan kesedaran masyarakat industri tentang pentingnya semangat kejiranan dalam mencegah jenayah di kawasan perindustrian dan pusat perniagaan.

Dalam pada itu, Noor Azam berkata, dalam usaha menurunkan kadar jenayah, pihaknya melaksanakan program Oscar di seluruh daerah di Selangor sejak Februari tahun lalu.

"Menerusi operasi ini, pegawai polis akan keluar pada setiap malam minggu untuk bertemu masyarakat. Kita juga meminta masyarakat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!