Asyraf Wajdi pelawa Syed Saddiq masuk Pemuda UMNO

Hantaran Asyraf Wajdi di Facebooknya hari ini mengajak Syed Saddiq menyertai Pemuda UMNO.
Hantaran Asyraf Wajdi di Facebooknya hari ini mengajak Syed Saddiq menyertai Pemuda UMNO.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempelawa bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyertai Pemuda UMNO.

Asyraf Wajdi membuka pelawaan itu susulan kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa enggan menyertai mana-mana parti politik sedia ada termasuk parti baharu, parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohammad kerana pengalaman isu rampasan kuasa politik dan amalan politik wang dalam Bersatu.

Menurut Asyraf Wajdi, memandangkan isu politik wang merupakan puncanya, Syed Saddiq dialu-alukan untuk menyertai Pemuda UMNO.

"Oh, rupanya salah satu punca Syed Saddiq tinggalkan Tun M (Dr Mahathir) dan Bersatu kerana budaya politik wang yang membarah.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq tubuh parti baharu

Keputusan Rundingan Muda Malaysia diumum dalam masa terdekat

"Kalau macam tu jom sertai Pemuda UMNO!," tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Tambah Asyraf Wajdi, selama 22 bulan UMNO menjadi pembangkang, parti itu khususnya Pemuda UMNO sudah banyak berubah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, proses penyaringan dan penyucian semulajadi berlaku apabila UMNO hilang kuasa.

"Yang mengejar projek dan memperhitungkan wang lebih dahulu meninggalkan wadah kononnya atas nama ‘berhijrah’.

"Yang tinggal terus bermuhasabah, melakukan koreksi diri dan sama-sama membangunkan kembali wadah dengan wajah dan iltizam baharu untuk menanggalkan budaya lama yang bobrok demi sebuah perjuangan," katanya.

Tegasnya, beliau juga berbangga dengan seluruh kepimpinan pergerakan Pemuda UMNO di semua peringkat.

"Kamu pejuang setia yang sejati. Moga terus istiqomah menerajui perubahan!" katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq menerusi wawancara bersama sebuah portal berita berkongsi pengalaman dalam parti lamanya yang menunjukkan hubungan rapat antara wang dan politik.

Selain itu, beliau turut memaklumkan keengganannya menyertai mana-mana parti sedia ada ditanggapi sebagai pertaruhan jangka panjang untuk mengubah politik Malaysia melalui undi anak muda dan pada masa sama akan tetap menghormati Dr Mahathir selaku mentor politiknya.