Pejuang sasar menang 36 kerusi pada PRU15

Dr Mahathir (tengah) pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr Mahathir (tengah) pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyasarkan kemenangan sebanyak 36 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengasasnya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sasaran itu dapat dicapai sekiranya Pejuang menyertai gabungan bersama parti lain.

Menurutnya, Pejuang juga bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik yang percaya dengan prinsip partinya dalam menghadapi PRU15.

"Kita sudah ada lebih 18 senarai ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak yang mesra Pejuang.

"Kami akan bekerjasama dengan mereka dan berharap rakyat di Semenanjung juga akan menolong kita, kemudian akan boleh tentukan siapa menjadi kerajaan," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan Pejuang untuk berdepan dengan PRU15, beliau berkata, parti itu mempunyai strategi sekiranya pendaftarannya ditolak Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Sebelum ini, tidak sampai seminggu PRU14, kita (Bersatu) ditolak oleh ROS, namun kita ada strategi lain," katanya.

Bekas Perdana Menteri ke-4 dan Ke-7 itu berkata, pihaknya akan mendedahkan dunia mengenai pentadbiran kerajaan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan dedahkan seluruh dunia cara kerajaan ini menang (pilihan raya)," katanya.

Mengulas mengenai kekalahan pada PRK Slim, Perak baru-baru ini, Dr Mahathir mendakwa wang sogokan berleluasa merupakan punca kekalahan teruk calonnya.

"Ramai orang yang kata mereka dapat bayaran. Ada di atas bas, van yang membawa mereka ke pusat pengundian," katanya.

Tambahnya apa yang berlaku (politik wang) itu menunjukkan wujud penipuan secara besar-besaran.

"Kita nak bagi cukup bukti kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tapi kalau tidak nampak betul-betul, mereka tidak akan ambil berat," katanya.