Lapan maut, 14 cedera dalam kejadian tembak di Mexico

Penyerang melepaskan tembakan ke arah mereka yang sedang berkabung berikutan kematian seorang pemuda akibat nahas jalan raya.
Penyerang melepaskan tembakan ke arah mereka yang sedang berkabung berikutan kematian seorang pemuda akibat nahas jalan raya.
A
A
A

MEXICO CITY - Lapan terbunuh manakala 14 yang lain cedera dalam kejadian tembakan di Cuernavaca, bandar percutian hujung minggu yang popular Mexico City, lapor agensi berita Xinhua memetik pegawai tempatan semalam.

Menurut saksi kejadian, penyerang datang dengan menaiki kenderaan di sebuah rumah di kejiranan Antonio Barona dan melepaskan tembakan ke arah mereka yang sedang berkabung berikutan kematian seorang pemuda akibat nahas jalan raya.

Pejabat Peguam Negara Morelos dan polis negeri berkata dalam satu kenyataan, dua remaja berusia 15 dan 16 tahun antara yang maut dalam serangan berlaku kira-kira jam 10.40 malam waktu tempatan pada Selasa.

Empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadianm manakala yang lain ketika dalam perjalanan ke hospital.

Tiga wanita dan 11 lelaki yang cedera, termasuk dua kanak-kanak turut dirawat di hospital.

Pihak berkuasa mengatakan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada jenayah terancang.

Bandar Cuernavaca sejak kebelakangan ini menyaksikan peningkatan jenayah berkaitan dadah kerana terletak di laluan perdagangan antara selatan Mexico dan sempadan utara dengan Amerika Syarikat. - Bernama

Artikel Berkaitan: