Pegawai APMM Terengganu, anak maut nahas

Nahas yang berlaku di jalan Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega, malam tadi. Foto: Ihsan pembaca
Nahas yang berlaku di jalan Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega, malam tadi. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan anak lelakinya maut, dalam kemalangan di jalan Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, motosikal jenis Honda Vario ditunggang Leftenan Maritim Md Firdaus Omar, 35, bersama anak sulungnya, Muhammad Lutfil Al-Hadi Md Firdaus, 8, dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun.

Akibat rempuhan itu, kedua beranak berkenaan dikatakan tercampak di atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Menurut sumber, Md Firdaus yang bertugas di ibu pejabat APMM Terengganu dikatakan dalam perjalanan dari rumah mereka di Gong Badak, untuk menghantar anak sulung daripada tiga beradik itu ke kelas mengaji di lokasi berhampiran.

Keadaan kereta yang merempuh motosikal dinaiki dua beranak berkenaan. Foto: Ihsan pembaca
Keadaan kereta yang merempuh motosikal dinaiki dua beranak berkenaan. Foto: Ihsan pembaca

"Pemandu kereta cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala jenazah dua beranak dihantar ke Unit Forensik hospital sama.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pekarangan Unit Forensik HSNZ dipenuhi rakan sekerja Allahyarham Md Firdaus.

Turut kelihatan isteri Allahyarham, Siti Hawa Mohd Sebari, 30. Bagaimanapun, suri rumah itu kelihatan sebak dan beberapa kali pengsan.