PRU Parlimen akan wujudkan kestabilan kerajaan Pusat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) yang hanya melibatkan kawasan Parlimen tanpa melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat akan membawa implikasi positif untuk mewujudkan kestabilan kerajaan Pusat.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, pilihan raya bagi kawasan Parlimen sahaja adalah satu alternatif terbaik mengambil kira senario politik negara ketika ini.

"Pelaksanaan PRU yang hanya libatkan Parlimen ada pro dan kontranya tapi dalam konteks hari ini, ia dilihat perlu diadakan bagi memastikan kerajaan yang memerintah mempunyai majoriti yang kukuh.

"Sekiranya sokongan terhadap kerajaan tidak mencukupi, ia menyukarkan pelaksanaan dasar kerajaan termasuk untuk meluluskan rang undang-undang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau mengulas tentang kemungkinan PRU kali ini hanya melibatkan Parlimen sahaja susulan kenyataan beberapa negeri yang tidak merancang untuk membubarkan DUN jika PRU diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hari ini berkata, berdasarkan kaedah biasa, beliau merasakan tidak ada keperluan untuk DUN dibubarkan kerana apa yang perlu dilihat adalah kestabilan di peringkat Parlimen.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor turut berpandangan sama dan menegaskan tiada keperluan untuk membubarkan DUN di negeri-negeri yang stabil.

Mengulas lanjut, Ahmad Marthada berkata, sekiranya kerajaan Pusat ketika ini berterusan berada dalam keadaan tidak kukuh ia akan mengakibatkan berlarutannya fenomena lompat parti.

Artikel Berkaitan:

"Jadi mengambil kira faktor-faktor sebegini maka pilihan raya bagi kawasan Parlimen sahaja adalah alternatif terbaik bagi memastikan kerajaan mempunyai majoriti yang kukuh bagi menjalankan pentadbiran negara dengan lebih cekap.

"Di samping itu ia bagi meningkatkan legitimasi kerajaan supaya kerajaan yang memerintah adalah dipilih rakyat," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik yang juga felo penyelidik dari Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, pelaksanaan PRU hanya membabitkan Parlimen tanpa melibatkan DUN tidak memberi apa-apa masalah dan ia tidak melanggar Perlembagaan dan undang-undang.

Katanya, ia selagi DUN berada dalam tempoh tidak lebih daripada tarikh luput lima tahun.

"Kalau ikut keadaan sekarang kita kena akui kerajaan Persekutuan tidak stabil dan tidak mempunyai kedudukan kuat di Parlimen dan ini sebenarnya mendatangkan pelbagai kesan buruk terhadap perdagangan dan ekonomi kerana pelabur tidak yakin dengan negara kita.

"Jadi pada pandangan saya seeloknya dibuat segera PRU untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat. Bila ada mandat baharu, kerajaan baharu tidak lagi akan dipertikaikan," katanya.

Katanya, keadaan itu juga akan menghentikan pelbagai gelaran dan tohmahan yang diberikan ke atas kerajaan Perikatan Nasional sekarang seperti gelaran kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.