Jangan pandang mudah Terengganu FC

Pemain-pemain Melaka United giat menjalani latihan sebagai persediaan berdepan Terengganu FC Jumaat ini. Foto: Melaka United Soccer Association - MUSA
Pemain-pemain Melaka United giat menjalani latihan sebagai persediaan berdepan Terengganu FC Jumaat ini. Foto: Melaka United Soccer Association - MUSA
A
A
A

PEMAIN-pemain Melaka United dituntut supaya lebih fokus bagi mengelak melakukan kesilapan mudah ketika melayan kunjungan pasukan tangga kedua liga, Terengganu FC pada aksi CIMB Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, Jumaat ini.

Menurut Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan, skuad Penyu kendali Nafuzi Zain sedang berada pada momentum terbaik selepas melakar dua kemenangan selepas saingan liga bersambung sejak pertengahan Ogos lalu.

"Saya menjangkakan perlawanan berlangsung sengit kerana Terengganu FC pastinya mahu mengekalkan momentum positif dalam dua perlawanan sebelum ini.

"Jadi saya berharap pemain-pemain Melaka United dapat mengekalkan tahap disiplin tinggi seperti mana ditunjukkan ketika menjinakkan Perak di Ipoh pada minggu lalu.

"Kemenangan di Ipoh tempoh hari adalah hasil disiplin tinggi selain pematuhan dalam kalangan pemain Melaka United terhadap taktikal yang dirancang sepanjang perlawanan

"Jadi jangan sesekali menilai keupayaan Terengganu FC sama seperti Perak kerana kedua-dua pasukan memiliki taktikal berbeza apatah lagi skuad Penyu memiliki gandingan penyudah import yang ampuh," katanya kepada Sinar Harian.

Pada aksi di Stadium Perak itu, Muhammad Ferris Danial Nasir muncul wira skuad Hang Tuah apabila meledak gol tunggal pada minit ke-51 sekali gus membolehkan pelawat melompat ke tangga keenam liga dengan mengumpul enam mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Pada masa sama bekas pemain kebangsaan berusia 58 tahun itu mengakui berpuas hati dengan komitmen dan kerja keras dipamerkan dalam kalangan pemain-pemain Hijau Putih dalam mengharungi baki perlawanan liga selepas penangguhan sejak pertengahan Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Biarpun begitu ingin saya tegaskan di sini masih terdapat beberapa ruang yang perlu diperbaiki pemain-pemain pertahanan, tengah dan serangan kerana kita tidak boleh berpuas hati sebaliknya perlu sentiasa meningkatkan prestasi.

"Paling penting pemain-pemain perlu mengekalkan semangat kerjasama berpasukan bermula dari minit pertama perlawanan sehingga ke wisel penamat bagi mengelakkan hilang tumpuan yang menyumbang kepada berlakunya kesilapan mudah," katanya.