X

Kindly register in order to view this article
!

Piala Thomas: BAM optimis skuad negara mampu menyerlah

BAM yakin skuad badminton lelaki negara mampu menyerlah pada kempen Piala Thomas di Aarhus, Denmark, bulan depan. - Foto BAM
A
A

SKUAD badminton lelaki negara mempunyai peluang cerah pada kempen Piala Thomas di Aarhus, Denmark, bulan depan, berdasarkan kepada latihan intensif dan kejohanan dalaman yang dilaksanakan setakat ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, skuad negara mampu mempamerkan prestasi lebih baik khususnya dengan penyertaan beberapa pemain profesional dalam kem latihan seperti Liew Daren dan Soong Joo Ven, bagi memperkuatkan pasukan negara.

“BAM juga mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain profesional bagi mengatasi sebarang masalah timbul yang boleh menjejaskan peluang Malaysia untuk mencipta kejayaan lebih baik pada kempen Piala Thomas ini,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini.

Beliau mengadakan pertemuan khas dengan 27 pemain yang akan menyertai kem motivasi selama empat hari di Pulau Tioman, Pahang yang bermula esok.

Pada edisi 2018 di Bangkok, Malaysia gagal mencapai sasaran untuk mara ke separuh akhir selepas tewas 1-3 kepada Indonesia pada perlawanan suku akhir.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamad Norza menasihati pemain kebangsaan agar tidak terlalu selesa kerana tempat mereka dalam skuad Piala Thomas masih belum dijamin kerana perlu bersaing dengan pemain profesional.

BAM dijangka mengumumkan senarai akhir pemain ke Piala Thomas selepas kem motivasi berkenaan.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menetapkan 18 September sebagai tarikh akhir pendaftaran pemain yang akan bersaing pada kempen Piala Thomas dan Uber kali ini.

Malaysia diundi dalam kumpulan A bersama juara 13 kali yang juga musuh tradisi, Indonesia, serta Belanda dan England dalam saingan Piala Thomas pada 3 hingga 11 Oktober depan.

Skuad wanita pula berdepan laluan sukar apabila diundi bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia dalam kumpulan B.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas dalam kumpulan mara ke peringkat suku akhir.

Malaysia muncul juara Piala Thomas sebanyak lima kali pada edisi 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!