Rasuah, tuntutan palsu, dua pengarah syarikat dibebaskan

A
A

PUTRAJAYA - Dua pengarah syarikat termasuk seorang bergelar Datuk dibebaskan hari ini selepas direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu kira-kira RM1.8 juta.

Perintah tamat reman itu dikeluarkan Majistret Muhamad Bukhori Md. Ruslan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) RM100,000 tiap seorang dengan dua penjamin setiap seorang.

Sebelum ini, kedua-dua suspek itu direman selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Januari lalu sebelum dilanjutkan tiga hari lagi sehingga esok namun, dibebaskan lebih awal pada hari ini.

Turut direman berhubung kes itu ialah ejen insurans wanita , bagaimanapun tempoh remannya tidak disambung dan dibebaskan dengan jaminan SPRM RM10,000 dengan seorang penjamin pada 25 Januari lalu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, terdahulu kedua-dua suspek berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.05 pagi untuk prosiding tamat reman.

Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga suspek itu disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham di samping turut disyaki terbabit dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Mereka ditahan di ibu pejabat SPRM pada Selasa lalu ketika hadir memberi keterangan, pengarah syarikat bergelar Datuk berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari dan seorang lagi suspek berusia 51 tahun pula kira-kira sejam kemudian, manakala suspek wanita yang juga ejen insurans berusia 29 tahun ditahan pada pukul 2 petang.

Sementara itu dalam kes berasingan bekas pengurus kanan produk di sebuah syarikat yang ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan bernilai lebih RM2 juta, dibebaskan hari ini selepas direman selama lima hari.

Perintah tamat reman itu dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan dengan jaminan SPRM RM100,000 dengan dua orang penjamin selain pasport diserahkan kepada SPRM.

Sebelum ini suspek direman selama tiga hari bermula 23 Jan lepas, sebelum dilanjutkan selama dua hari lagi dan berakhir hari ini. Terdahulu suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.15 pagi.

Pada Selasa lalu, suspek berumur 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.35 petang di ibu pejabat SPRM selepas hadir memberi keterangan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia