X

Kindly register in order to view this article
!

China, Filipina makin melampau

A
A

HIPOKRIT sungguh retorik persahabatan yang sering dilaung-laungkan China dan Filipina dengan negara kita, Malaysia.

Tindak-tanduk Beijing dan Manila dalam keadaan kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-63 tahun ini cukup melampaui batas. Lima hari sebelum kita menyambut ulang tahun kemerdekaan beberapa hari lalu, China telah mencuri perhatian dunia apabila menguji dua jenis peluru berpandu tidak terlalu jauh dari wilayah kita di Laut China Selatan pada 25 Ogos 2020.

Kejayaan ujian peluru berpandu China itu memberi impak besar dari segi imbangan kuasa ketenteraan di Laut China Selatan; jika DF-21D mampu menjangkau jarak 1,500km, DF-26B pula mampu memusnahkan sasaran sejauh 4,000km. Secara matematiknya, peluru berpandu China kini bukan sahaja mampu untuk ditembak ke wilayah perairan negara Asia Tenggara dari Pulau Hainan, tetapi juga boleh digunakan ke arah Jepun dan juga Laut China Timur.

Malah, kejayaan ujian peluru berpandu China itu juga telah mengesahkan kebimbangan yang selama ini hanya bersifat spekulatif dalam kalangan penganalisis ketenteraan Amerika Syarikat (AS); keupayaan peluru berpandu China ini mampu ‘membunuh’ kapal pengangkut pesawat Amerika yang selama ini menjadi simbol kekuatan bala tentera Amerika di seluruh pelosok dunia.

Menerusi kapal pengangkut pesawatlah AS membawa pesawat-pesawat pejuang mereka menakluki Iraq dan menjajah Afghanistan. China jelas mengambil iktibar mengenai ancaman kapal pengangkut pesawat AS yang sememangnya kebelakangan ini seringkali mengadakan latihan ketenteraan di Laut China Selatan. Malah, pada bulan Julai tahun ini sahaja AS menjalankan latihan berkembar membabitkan tiga kumpulan pesawat pengangkut pesawat di Laut China Selatan dan Indo-Pasifik.

Hakikatnya, China perlu menyalahkan diri mereka sendiri hingga memberi alasan kepada AS untuk menggandakan persiapan perang di Laut China Selatan. Antara contoh terkini adalah tindakan China mengasak kapal eksplorasi West Capella Petronas dalam wilayah perairan kita sejak akhir tahun 2019 hingga Mei lalu.

Filipina juga tidak kurang hipokritnya dalam keadaan kita baru sahaja menyambut ulang tahun penubuhan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) Ogos baru-baru ini. Dalam keadaan perairan serantau kita semakin hebat cuba dimonopoli China, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mengumumkan bahawa mereka bakal menghidupkan semula pejabat khas di Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) untuk merebut semula Sabah.

Tuntutan

Tidak cukup setakat itu, Locsin membangkitkan semula kontroversi pada Julai lalu bahawa Sabah “bukan dalam Malaysia”, di samping mendakwa tawaran rasuah ‘besar’ telah dibuat oleh calon Presiden Filipina selama bertahun-tahun untuk menggugurkan tuntutan mereka ke atas Sabah.

Perangai sebenar Filipina makin ketara apabila Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina bertindak mencetak peta Filipina yang turut meliputi kawasan 320km Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia dan negeri Sabah ke dalam pasport negara itu.

Filipina sememangnya mempunyai tuntutan lama terhadap Sabah berdasarkan sejarah pemilikan Sultan Sulu yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara, namun masa yang dipilih Filipina untuk berkonfrontasi dengan kita cukup salah - dalam seluruh dunia kini sedang menghadapi pandemik Covid-19.

Bagi pihak Malaysia, kita telah pun bertindak mengulangi penegasan tidak akan memenuhi tuntutan mana-mana pihak terhadap Sabah sejak 1963. Hal ini ditegaskan kembali misi tetap Malaysia yang memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga telah membidas Locsin kerana mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab yang mempengaruhi hubungan dua hala. Nampaknya Filipina sudah lupa bagaimana Malaysia berperanan menghulur perdamaian ketika bersama-sama mengasaskan ASEAN pada tahun 1967.

China juga nampaknya sudah lupa bahawa Malaysia ialah anggota ASEAN pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Beijing pada tahun 1974. Maka rakyat Malaysia jangan sekali-kali lupakan perangai China dan Filipina ini.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!