Empat lelaki ditahan samun jurujual

Empat lelaki ditahan selepas menyamun seorang jurujual di tempat parkir kereta di Kota Damansara pada Ahad lepas.
Empat lelaki ditahan selepas menyamun seorang jurujual di tempat parkir kereta di Kota Damansara pada Ahad lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat lelaki warga tempatan ditahan selepas dipercayai menyamun seorang jurujual lelaki di tempat parkir kereta di Jalan PJU 5/22, Kota Damansara di sini pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa ingin pulang ke rumah sebelum didatangi empat suspek dengan seorang daripada mereka membuka pintu kereta mangsa dan mengacukan sebilah parang di leher mangsa.

Berikutan itu, suspek bertindak merampas pelbagai barangan peribadi milik mangsa antaranya empat beg sandang dan tujuh telefon bimbit, dua utas jam tangan pelbagai jenama serta dua motosikal.

“Bertindak atas maklumat, semalam sepasukan polis menahan empat lelaki berusia dalam lingkungan 15 hingga 34 tahun yang disyaki terlibat dengan kejadian jenayah samun itu.

“Hasil semakan rekod lampau kesemua suspek menunjukkan mereka mempunyai beberapa rekod dadah dan jenayah samun, pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dengan beberapa kes kejadian samun yang dilakukan di sekitar Kota Damansara.

Beliau berkata, tiga daripada suspek direman selama tiga hari manakala seorang lagi direman selama lima hari mulai hari ini.

“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melihat penglibatan kesemua suspek dalam kes samun dan ragut khususnya di kawasan pentadbiran polis Petaling Jaya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: