Buntu tanggung kos isteri strok

Suee Lim (kanan) menziarahi Nazri (tengah) dan isterinya yang terlantar akibat serangan strok.
Suee Lim (kanan) menziarahi Nazri (tengah) dan isterinya yang terlantar akibat serangan strok.
A
A
A

SEKINCHAN - Seorang suami buntu memikirkan kos perbelanjaan lebih RM1,000 sebulan yang terpaksa ditanggung selepas isterinya lumpuh akibat diserang strok sebelah badan sejak 18 Ogos lalu.

Nazri Salleh, 51, berkata, pendapatannya yang bergantung kepada hasil tanaman pisang dengan memperoleh purata RM1,000 sebulan masih tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan isterinya, Harison Abd Samad, 47.

Menurutnya, kos susu khas seberat 800 gram berharga RM89 hanya mampu bertahan selama tiga hari.

"Isteri terpaksa bergantung susu khas yang diberikan sebanyak tujuh kali sehari menggunakan saluran tiub sebagai ganti sumber pemakanannya," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Nazri, selain susu, isterinya juga memerlukan perbelanjaan bagi lampin pakai buang berharga RM16 yang hanya mampu bertahan selama dua hari.

"Perbelanjaan kami meningkat dan keadaan ini menyukarkan saya apatah lagi menyara empat daripada tujuh anak yang masih bersekolah," katanya yang menetap di Tali Air 7 Ban 3 Sungai Leman.

Katanya, sebelum ini isterinya itu bekerja mengambil upah memetik sayuran dengan pendapatan RM25 sehari.

"Isteri sudah empat kali diserang strok dan kali pertama semasa pulang dari tempat kerja seminggu sebelum perlaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keadaan isterinya bertambah teruk apabila diserang strok kali keempat hingga menyebabkan lumpuh separuh badan dan tidak boleh berkomunikasi seperti sedia kala.

"Saya menyedari dia terkena serangan strok kali keempat selepas keadaan muka isteri pucat semasa duduk atas kerusi dengan keadaan air liur meleleh.

"Kami terus membawanya ke Hospital Tanjong Karang dan masih menanti temu janji bagi rawatan fisioterapi," katanya.

Sementara itu, nasib menimpa Harison mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim.

Suee Lim berkata, beliau sudah menziarahi keluarga itu pada Jumaat lalu dan datang semula melihat keadaan pesakit terbabit.

Katanya, keluarga itu sememangnya memerlukan perbelanjaan tinggi dan berharap agensi berwajib seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu menyalurkan bantuan sewajarnya.

"Saya juga sudah membantu keluarga ini dengan menyalurkan bantuan kewangan dan barangan dapur bagi meringankan beban keluarga berkenaan," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 162124334138 (Harison Abd Samad) atau menghubungi talian 017-8665319 (Nazri).