PRK Cameron Highlands: BN menang bukti rakyat sudah insaf

Azhari Shaari
Azhari Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands semalam disifatkan sebagai petanda keinsafan rakyat.

Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, ia (kemenangan) menunjukkan rakyat kini sudah insaf dan sedar bahawa BN yang menggunapakai lambang dacing adalah satu-satunya parti yang sinonim dengan slogan tradisi membela rakyat.

"Keputusan PRK kali ini menunjukkan majoriti rakyat Malaysia sudah boleh menilai yang mana kaca, yang mana permata.

"Alhamdullillah rezeki sudah tertulis, BN menang di Cameron Highlands...Insya-ALLAH semua PRK selepas ini BN 'tapau' semua," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Azhari turut mengulas laporan media berhubung 16,000 penjawat awam dijangka hilang pekerjaan selepas kerajaan memutuskan untuk melaksanakan kawalan saiz perkhidmatan awam.

Menurutnya, setiap rakyat mendambakan kerja kerana dengan bekerja mereka mempunyai wang untuk membeli makanan dan barangan keperluan, malah turut dilaporkan ada keluarga yang terpaksa ikat perut kerana tiada bantuan kewangan daripada pihak berkuasa seperti biasa.

"Ini realiti dalam masyarakat hari ini, bukan filem sains fiksyen di panggung wayang... Jika rakyat kata mereka susah, memang mereka berada dalam kesusahan.

"Itulah sebab 'dacing' memberi BR1M, Bantuan Awal Persekolahan RM100, kepada setiap golongan masyarakat. Bantuan diberi dengan segera bukannya seperti orang bermain tarik tali," katanya mempertikai Bantuan Sara Hidup (Basah) yang dilihat masih belum 'membasah' di dalam akaun penerima sehingga sekarang.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu Azhari turut mengingatkan PH agar tidak menangguk di air keruh dan menjadi kudung mendapat cincin kerana sudah hampir setahun janji manifesto tertunggak dengan pelbagai alasan diberi.

"Rakyat semakin jelak dengan isu 1MDB, isu RM 2.6 bilion. Kes tersebut sudah didaftarkan di mahkamah dan tak perlulah membuka mahkamah di media sosial atau depan masjid sekali pun.

"Selepas ini, 'dacing' akan terus menewaskan 'Pakatan Hancing' yang banyak menabur janji bulan dan bintang. Sedangkan hutang lapuk sejak tahun lepas tak terbayar hingga kini," katanya.