X

Kindly register in order to view this article
!

BAM harap Denmark perketat SOP ketika Piala Thomas/Uber

Mohamad Norza berucap pada perjumpaan bersama barisan pemain badminton yang akan menyertai Kem Motivasi di Pulau Tioman, di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini. -Foto Bernama
A
A

PENGARAH Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berharap Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Badminton Denmark meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) pada pusingan akhir Piala Thomas dan Uber di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober depan.

Beliau berkata ia penting bagi memastikan keselamatan pemain dan pegawai yang terlibat dalam kejohanan badminton berpasukan berprestij itu memandangkan pandemik Covid-19 yang dihadapi ketika ini.

“Kami memikirkan mengenai pengasingan penempatan pasukan di hotel penginapan dan sumber makanan yang diperolehi...

“Kaedah pencegahan di Denmark sedikit berbeza daripada kami di sini (Malaysia), sebab itu kami sentiasa berkomunikasi dengan penganjur mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Beliau ditemui ketika mengadakan pertemuan khas dengan presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bersama 27 pemain yang akan mengikuti kem motivasi selama empat hari di Pulau Tioman, Pahang bermula esok.

Choong Hann sekali lagi menegaskan bahawa senarai akhir pemain ke Piala Thomas dan Uber hanya diketahui selepas mereka kembali daripada mengikuti kem motivasi itu.

BWF menetapkan 18 September sebagai tarikh akhir pendaftaran pemain bagi negara bertanding di kejohanan berkenaan.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia berkata, beliau sudah bersedia menghadapi tekanan dalam usahanya menzahirkan mata sulung buat skuad negara pada kempen Piala Thomas kali ini.

Pemain berusia 22 tahun itu baharu kembali menjalani latihan selepas mengalami kecederaan belakang pada Kejohanan Jemputan BAM, awal bulan lepas.

“Kecederaan saya bertambah baik, dan hari ini merupakan hari kedua saya menjalani latihan penuh. Saya harap selepas kembali dari kem motivasi di Pulau Tioman, saya akan pulih sepenuhnya,” kata Zii Jia yang dijangka turun selaku perseorangan pertama di Aarhus nanti.

Malaysia diundi dalam kumpulan A bersama juara 13 kali yang juga musuh tradisi, Indonesia, Belanda dan England dalam saingan Piala Thomas, manakala skuad badminton wanita pula berdepan laluan sukar selepas diundi bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia dalam kumpulan B.

Malaysia muncul juara Piala Thomas sebanyak lima kali pada 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!