X

Kindly register in order to view this article
!

Penuntut kolej pukul penghantar makanan dijel lima bulan

A
A

BUKIT MERTAJAM - Gara-gara mencederakan penghantar makanan, seorang penuntut kolej swasta terpaksa meringkuk dalam penjara selama lima bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin yang bertindak sebagai Majistret, menjatuhkan hukuman itu terhadap Ang Tung Lin, 33, bermula dari tarikh tangkap pada 7 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, Tung Lin yang tidak diwakili peguam itu didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap Muhammad Muzammil Abdullah, 34, yang berkhidmat dengan sebuah syarikat penghantaran terkenal di Lorong Sri Impian 8, Alma, Bukit Mertajam di sini pada 11.05 pagi, 6 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau didenda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazri Abdul Rahim.

Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, Tung Lin turut didakwa atas dua pertuduhan lagi iaitu mengaibkan bagi mendatangkan kebangkitan marah terhadap penghantar makanan itu dan menghalang polis menjalankan tugas.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki yang memakai kemeja-T berwarna merah itu didakwa membangkitkan kemarahan itu terhadap mangsa di tempat dan masa sama dan didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas iaitu Inspektor Mohd Hafizul Mohamad Azizan di sebuah hotel di Lorong Seri Impian 2,Taman Seri Impian Alma dekat sini pada 10 malam, 7 Ogos lalu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 29 September ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Kalaivanaan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!