Pemimpin Eropah beri kata dua kepada Presiden Venezuela

Kemelut politik Venezuela menyaksikan pertembungan antara Maduro (kiri) dan Guaido kanan. - Foto BBC
Kemelut politik Venezuela menyaksikan pertembungan antara Maduro (kiri) dan Guaido kanan. - Foto BBC
A
A
A

CARACAS - VENEZUELA. Pemimpin Eropah memberi kata dua kepada Presiden Venezuela Nicolas Maduro agar mengadakan pilihan raya atau mereka akan menyokong ketua pembangkang negara berkenaan.

Maduro berdepan tekanan hebat apabila seterunya, Juan Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden pada Rabu lalu.

Terdahulu, beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS) telah memberi sokongan kepada Guaido untuk menjadi presiden.

Namun, Menteri Luar Jorge Arreaza menegaskan bahawa, pelantikan Maduro adalah sah dan negara itu tidak akan tunduk kepada gesaan untuk mengadakan pilihan raya.

"Tiada sesesiapa berhak memberi kami tarikh akhir atau mengarahkan supaya pilihan raya diadakan," kata Arreaza kepada anggota Suruhanjaya Keselamatan Pertubuhan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu mesyuarat di New York.

Sabtu lalu, ahli tetap suruhanjaya keselamatan, Perancis dan United Kingdom menyertai Jerman, Sepanyol dan beberapa negara Eropah lain dalam menggesa agar pilihan raya di Venezuela diadakan dalam masa lapan hari.

Sementara itu, kenyataan daripada Kesatuan Eropah (EU) meminta agar pilihan raya diadakan atau ia akan mengambil 'langkah seterusnya, termasuk terhadap isu pengiktirafan kepimpinan Venezuela.

Bercakap bagi pihak EU, Menteri Luar United Kingdom Sir Alan Duncan berkata, Venezuela memerlukan kerajaan yang benar-benar mewakili kehendak rakyatnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Rusia mendakwa sokongan luar terhadap Guaido, melanggar undang-undang antarabangsa dan ia merupakan 'jalan menuju pertumpahan darah'.

China, Mexico dan Turki juga turut menyatakan sokongan terhadap Maduro yang dilantik untuk penggal kedua awal bulan ini setelah memenangi pilihan raya yang didakwa pembangkang dicemari penipuan. - BBC