Akid teruskan rentak cemerlang

Akid terus mempamerkan aksi bertenaga pada sesi kelayakan Kelas CP150 di Litar Sepang Selatan hari ini.
Akid terus mempamerkan aksi bertenaga pada sesi kelayakan Kelas CP150 di Litar Sepang Selatan hari ini.
A
A
A
JUARA Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2020, Md Akid Aziz meneruskan rentak cemerlang apabila muncul pelumba terpantas pada sesi kelayakan Kelas CP150 di Litar Sepang Selatan hari ini.

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor itu merekodkan masa 1:15.596 saat (s) sepusingan di litar sepanjang 2.6 kilometer itu sekali gus membuktikan prestasi jenteranya semakin mendapat pelarasan yang stabil dalam misinya memburu kemenangan podium kedua musim ini.

Pada sebelah paginya, Akid turut membuktikan kecemerlangannya apabila tampil terpantas ketika mengharungi sesi latihan bebas pertama dengan catatan masa 1:15.587s pada kelajuan 124 kilometer sejam.

"Saya berharap agar semuanya berjalan lancar bagi menghadapi perlumbaan esok. Setakat ini, keadaan jentera nampak stabil dan ini memberi keyakinan kepada saya untuk melakukan yang terbaik," jelas pelumba asal Kuala Lumpur itu.

Esok, Akid akan memulakan misi dengan sesi Superpole sebelum mengharungi perlumbaan akhir pada sebelah petangnya.

Sesi kelayakan turut menyaksikan kemaraan pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Mohd Amirul Ariff Musa yang berjaya menempatkan diri selaku kedua terpantas dengan catatan masa 1:15.824s, ketinggalan 0.228s di belakang Akid.

Terdahulu pada sesi latihan bebas kedua, Amirul muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 1:16.450s manakala rakan sepasukannya, Azroy Hakeen Anuar dilihat lebih berhati-hati pada sesi kelayakan, namun tetap berpuas hati menghuni kedudukan keempat terpantas dengan masa 1:16.069s.

Azroy yang muncul naib juara di Tangkak minggu lalu lebih banyak menggunakan sesi latihan bebas kedua sebelum itu untuk menguji pelarasan jenteranya dan dia menamatkan sesi tersebut di kedudukan ke-15 dengan masa 1:17.773s.

Tempat ketiga terpantas dilakar pelumba Team AHM Motorsports Yamaha Racing, Md Khairul Ikhwan Musa dengan catatan masa 1:16.450s manakala juara Pusingan 1, Md Helmi Azman pula sekadar menghuni kedudukan ketujuh terpantas dengan merekodkan masa 1:16.761s.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, sesi kelayakan bagi Kelas CP125, sekali lagi menyaksikan penguasaan pelumba ONEXOX TKKR SAG Team apabila mereka mendominasi dua kedudukan teratas.

Md Syafiq Rasol yang muncul juara di Tangkak minggu lalu merekodkan masa terpantas pada sesi hari ini dengan catatan masa 1:21.347s seolah-seolah amaran awal buat barisan pencabarnya bahawa dia akan mengganas lagi di Sepang esok.

Rakan sepasukannya, Md Hafiza Rofa tampil selaku pelumba kedua terpantas dengan masa 1:21.371s manakala pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli pula menghuni kedudukan ketiga dengan catatan masa 1:21.412s.