Sultan Selangor terima kunjungan Presiden FAM

No Image Caption
A
A
A

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.

Menurut kenyataan FAM, Hamidin yang diiringi Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, menyembah maklum kepada Sultan Sharafuddin perihal isu semasa bola sepak negara termasuk proses penswastaan dan pemisahan persatuan kepada kelab.

Turut dibincangkan pada pertemuan berkenaan adalah mengenai Peta Hala Tuju F:30 yang dilancarkan 31 Okt 2018 dan perancangan membina ibu pejabat baharu FAM serta pusat latihan kebangsaan moden di Putrajaya.

Pada pertemuan itu juga, Hamidin mengambil kesempatan memaklumkan impak Covid-19 terhadap industri bola sepak negara selain persiapan skuad kebangsaan untuk menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang ditangguhkan ke tahun hadapan susulan pandemik itu.

Selain itu, Hamidin juga membincangkan mengenai usaha-usaha melaksanakan program pembangunan akar umbi di Selangor selaras dengan Piagam SupaRimau FAM, yang telah menganugerahkan ahli emas Piagam SupaRimau kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Soccer Schools, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: