Covid-19: Hanya dua kes penularan dalam negara

Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekod hanya dua kes penularan dalam negara daripada enam kes positif Covid-19 yang dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, dua kes terbabit melibatkan kluster MV Glen di Selangor dan kes saringan di tempat kerja yang dikesan di Pahang.

"Bagi kes di Pahang, pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Kluster MV Glen, beliau berkata, kes positif Covid-19 hari ini merupakan isteri kepada kes indeks yang dilaporkan pada 30 Ogos.

Sehingga hari ini katanya, KKM telah membuat saringan terhadap 58 individu.

"Tiga individu dikesan positif COVID-19, 16 negatif dan 39 masih menunggu keputusan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, empat kes import melibatkan warga asing yang mendapat jangkitan dari Indonesia (tiga kes) dan Syiria.

"Kesemua kes direkodkan di Kuala Lumpur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 9,360 kes.

"Jumlah kes aktif pula adalah 153 kes," katanya.

Tambahnya, empat pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi dan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, empat kes telah disahkan pulih sepenuhnya dan dibenar discaj.

"Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya ialah 9,079 kes iaitu 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.