Perang China-India kembali bergema

China dan India kembali berbalah berkaitan isu sempadan.
China dan India kembali berbalah berkaitan isu sempadan.
A
A
A

KETEGANGAN antara India dengan China berlaku semula pada Isnin lalu apabila Pusat Pemerintah Barat China menuduh tentera negara jirannya itu menyeberangi secara haram kawasan Garisan Kawalan Sebenar (LAC) dekat selatan Tasik Pangong dan lintasan pergunungan Reqin di kawasan pergunungan Himalaya.

Tuduh-menuduh berlaku antara kedua-dua belah pihak apabila pada awal hari yang sama, India dikatakan membuat dakwaan bahawa China melakukan pergerakan tentera yang provokatif.

Bahagian di selatan Tasik Panggong itu ialah tempat berlakunya konfrontasi terbaharu yang berada di bawah kawalan China.

Peta menunjukkan lokasi perbalahan dua kuasa besar Asia ini.
Peta menunjukkan lokasi perbalahan dua kuasa besar Asia ini.

Namun, perkembangan terbaharu itu berlaku selepas hanya dua bulan terjadinya pertempuran di kawasan tanah tinggi tersebut sehingga mengakibatkan 20 askar India terbunuh di Lembah Galwan pada Jun lalu.

Bagaimanapun, China tidak menyatakan angka sebenar sama ada askarnya cedera atau terbunuh sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa konflik itu akan berlanjutan lagi sehingga membawa kepada peperangan.

Sebelum ini, kedua-dua buah negara tersebut pernah terlibat dalam peperangan berkaitan sempadan yang berlaku pada tahun 1962.

Menurut portal berita Oplndia, pada 20 Oktober 1962 China menyerang India yang disebabkan satu perbalahan wilayah.

Artikel Berkaitan:

Peperangan itu berlaku dalam tempoh yang singkat dan berakhir pada 21 November 1962. Dalam peperangan itu, India tidak melakukan sebarang persiapan selain tidak menyangka ia akan diserang oleh China.

Portal India Today pula melaporkan, China kemudian mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak sekali gus menamatkan peperangan itu dengan menawan wilayah Aksai Chin yang dikatakan hampir sebesar negara Bhutan di sempadan India.

Seterusnya, LAC diwujudkan bagi menunjukkan kawasan sempadan kedua-dua negara tetapi ia cuma merujuk kepada bahagian barat sempadan antara Ladakh di India dan Wilayah Autonomi Tibet.

Gambar fail menunjukkan seorang askar China (kiri) dan seorang askar India mengawal lintasan Nathu La di semapadan kedua-dua negara. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang askar China (kiri) dan seorang askar India mengawal lintasan Nathu La di semapadan kedua-dua negara. - Foto AFP

Menyentuh tentang konflik itu, Menteri Luar India, S Jaishanker dalam satu temu ramah baru-baru ini berkata, situasi di sempadan antara China dengan negaranya adalah sesuatu yang serius sejak peperangan tersebut berlaku pada tahun 1962.

Ketegangan konflik itu dilihat semakin berlanjutan apabila portal berita Global Times melancarkan perang saraf melalui rencana pengarangnya pada Selasa lalu.

Rencana pengarang itu menyatakan China mampu menyebabkan tentera India menderita seperti yang berlaku pada tahun 1962.

"Namun, jika India mahu terlibat dalam satu perlumbaan, China mempunyai banyak peralatan dan kemampuan berbanding India. Jika India mahu menunjukkan satu kekuatan ketenteraan, PLA (Tentera Pembebasan Rakyat) bersedia menjadikan tentera India menderita seperti ia mengalami kekalahan teruk pada tahun 1962," kata rencana pengarang tersebut.

Global Times diterbitkan oleh People's Daily iaitu akhbar Parti Komunis China.

Sebagai lidah rasmi parti itu, ia pastinya melebarkan sokongan kepada Beijing.

Justeru, ia melancarkan perang saraf dengan menyatakan New Delhi kini berdepan dengan China yang sangat berkuasa.

China didakwa mempunyai kekuatan ketenteraan yang lebih kuat berbanding India. - Foto AFP
China didakwa mempunyai kekuatan ketenteraan yang lebih kuat berbanding India. - Foto AFP

Rencana itu diterbitkan selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi dilaporkan memberi amaran kepada China berhubung isu sempadan kedua-negara dengan menyatakan janjinya bagi membina sebuah angkatan tentera yang kuat.

Konflik kedua-dua buah negara itu juga tidak reda sebaliknya India didakwa menggunakan senjata ekonomi berhubung isu sempadan tersebut.

Senjata ekonomi itu digunakan apabila ia telah mengharamkan sekurang-kurangnya 59 aplikasi termasuk platform perkongsian video TikTok dan mengambil beberapa langkah lain seperti membekukan firma China dalam kontrak perniagaan dan menghalang barangan importnya daripada memasuki India.

Bagi melahirkan perasaan patriotik terhadap negara, sebuah parti politik Hindu di India, Shiv Sina pula menyatakan India ketika ini tidak sama seperti pada tahun 1962.

Ia merujuk kepada tentera negara itu semasa konflik dengan China berhubung sempada kedua-dua belah negara yang dikatakan India kalah dalam peperangan tersebut.

"Tentera India tidak akan mengulangi sejarah pada tahun 1962," katanya menerusi kenyataan yang disiarkan portal berita Times of India baru-baru ini.

Bagaimanapun, terdapat beberapa sisi dialog diadakan oleh kedua-dua pihak selepas serangan pada 15 Jun lalu di Lembah Galwan di timur Ladakh iaitu pertempuran maut yang berlaku buat pertama kali dalam tempoh lebih empat dekad.

Namun, tidak ada sebarang kemajuan dilaporkan berlaku dalam perbincangan mengenai sempadan negara itu sehingga kini.

No Image Caption

Sehubungan itu, jurucakap Kementerian Luar India, Anurag Srivastava berkata: "Pengunduran sepenuhnya memerlukan penempatan semula tentera oleh kedua-dua pihak ke pos-pos lazim masing-masing seperti (ditetapkan) LAC."

Kenyataan itu yang disiarkan oleh portal Nikkei Asian Review menyatakan ia hanya boleh dibuat menerusi persetujuan daripada kedua-dua pihak.

Justeru, China dan India boleh mengelakkan konflik ketenteraan sebaliknya ia perlu mencari satu penyelesaian berkaitan dengan sempadan negara melalui meja rundingan. - Agensi