APMM berkas PATI ceroboh negara, curi hasil laut

Rosli hadir menyertai Ujian Kemahiran Menembak Senjata Kecil di Lapang Sasar Bukit Jugra, Banting hari ini.
Rosli hadir menyertai Ujian Kemahiran Menembak Senjata Kecil di Lapang Sasar Bukit Jugra, Banting hari ini.
A
A
A

BANTING - Seramai 46 individu termasuk 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi Op Benteng di sekitar perairan Selangor.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, tangkapan itu adalah sepanjang tempoh 1 Mei 2020 sehingga 31 Ogos lalu dan mereka dikesan cuba menyusup masuk ke negara ini serta mahu mencuri hasil laut sejak 1 Mei lalu.

"Semakan mendapati PATI tersebut terdiri daripada 14 warga Indonesia dan 19 Myanmar. Berdasarkan laporan tangkapan, kesemua tangkapan dikesan melakukan pelbagai kesalahan antaranya di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Selain itu, kita juga mengesyaki warga tempatan berperanan sebagai tekong untuk menyeludup masuk PATI," katanya kepada pemberita selepas Ujian Kemahiran Menembak Senjata Kecil di Lapang Sasar Bukit Jugra, di sini hari ini.

Rosli (depan) hadir menyertai Ujian Kemahiran Menembak Senjata Kecil di Lapang Sasar Bukit Jugra, Banting hari ini.
Rosli (depan) hadir menyertai Ujian Kemahiran Menembak Senjata Kecil di Lapang Sasar Bukit Jugra, Banting hari ini.

Mengulas berkenaan modus operandi PATI, Rosli berkata, antara yang dikesan adalah PATI yang berselindung dalam bot nelayan untuk mengelirukan pihak berkuasa.

Katanya, dalam pada itu, pihaknya juga akan terus memperkuat operasi di sepanjang 281 kilometer pesisir pantai dengan keluasan laut 7,260 kilometer persegi bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan PATI..

"Kita akan memperketatkan pemantauan dan rondaan di sekitar perairan Selangor dari Sabak Bernam hingga ke Sepang termasuk lorong-lorong tikus di lokasi panas selain memperbanyakkan pemeriksaan feri penumpang.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya.

Tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan PATI khususnya samada bersubahat atau terlibat terlibat secara langsung. APMM juga menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI.