Radang sendi bukan halangan guru tabur bakti

Nor Sa'adah (dua dari kanan) dan Johari (dua dari kiri) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang.
Nor Sa'adah (dua dari kanan) dan Johari (dua dari kiri) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang.
A
A
A

KUANTAN - Penyakit bukan menjadi penghalang bagi seorang guru wanita untuk berbakti dan mencurah ilmu kepada anak bangsa walaupun pergerakannya terbatas akibat menghidap radang sendi sejak 20 tahun lalu.

Nor Sa'adah Abdul Rahman Rahman, 45, berkata, walaupun diuji dengan masalah kesihatan, semangatnya untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan LKTP Bukit Goh tetap tidak patah bahkan dia merasa bahagia dapat melihat perkembangan pembelajaran murid di sekolah tersebut.

"Setiap kali sakit, saya terpaksa makan ubat dan bergerak menggunakan tongkat atau kerusi roda. Ini kerana, saya kena kuat dan bersemangat demi anak murid. Kalau hendak ikutkan sakit, saya memang alami kesakitan pada sendi tangan dan kaki, namun kesakitan ini tidak pernah melemahkan semangat saya untuk terus mendidik mereka," kata guru tersebut yang menerima anugerah dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang, Zaimi Abu Bakar dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan, Miftah Surif.

Sempena anugerah tersebut, seramai 578 guru dan kakitangan sokongan menerima APC.

Nor Sa'adah berkata, penganugerahan yang diterimanya itu adalah kali ke tiga sepanjang 30 tahun dia berkhidmat sebagai guru.

Tambah ibu kepada kepada empat orang anak itu, penghargaan dan kejayaan tersebut menyuntik lagi semangatnya untuk terus mendidik murid di sekolah rendah.

"Saya seronok mengajar mereka walaupun berhadapan banyak cabaran. Sakit yang saya alami seperti hilang bila melihat wajah murid tahun satu," kata guru Bahasa Melayu itu.

Artikel Berkaitan:

Bagi Johari Budin@Mahasan, 50 yang mengidap penyakit batu karang kronik pula, anugerah yang diterimanya menjadi penambah semangat kepadanya untuk terus mendidik anak bangsa.

"Kejayaan yang dicapai bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya perlu usaha dan komitmen dalam setiap tugas yang diamanahkan," katanya yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan, di sini.