Polis beri amaran kepada pemilik premis

Mazlan menggunakan jengkaut untuk melupuskan barang kes perjudian haram di Balai Polis Alam Damai di sini hari ini.
Mazlan menggunakan jengkaut untuk melupuskan barang kes perjudian haram di Balai Polis Alam Damai di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis yang disyaki menyewa bangunan mereka kepada sindiket perjudian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa pemilik premis yang disyaki menyewa bangunan kepada sindiket perjudian.

"Kita akan menyerahkan senarai nama pemilik premis itu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengambil tindakan sewajarnya seperti membatalkan permit perniagaan mereka," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis pelupusan barang kes perjudian di Balai Polis Alam Damai, di sini hari ini.

Mazlan berkata, penganjur aktiviti perjudian haram pula dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

"Kita juga ada senarai tauke yang disyaki menganjurkan aktiviti itu, kita telah membuka kertas siasatan di bawah Poca," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berhadapan dengan cabaran besar untuk membanteras aktiviti perjudian haram.

"Kita minta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat dalam usaha membanteras aktiviti perjudian haram," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mazlan memaklumkan sebanyak 2,323 buah komputer dan 260 telefon bimbit yang digunakan untuk aktiviti perjudian haram telah dilupuskan.

Artikel Berkaitan:

"Ia melibatkan barang kes bagi 275 kertas siasatan sejak 2014 hingga tahun lalu. Kesemua kes tersebut telah selesai perbicaraan dan barang kes perlu dilupuskan," katanya.