Dadah bernilai RM8.59 juta dilupus

Hasanuddin membuang barang kes dadah ke dalam tong pada Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kedah hari ini.
Hasanuddin membuang barang kes dadah ke dalam tong pada Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kedah hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah melupuskan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM8.59 juta bagi tempoh enam tahun antara 2013 hingga 2018 hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kesemua barangan kes dadah itu membabitkan 1,887 kertas siasatan yang telah selesai dan jatuh hukum di mahkamah.

Menurutnya, kesemua barang kes diserahkan kepada Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd yang merupakan salah satu syarikat berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar untuk dilupuskan.

"Pelupusan berkenaan melibatkan dadah jenis heroin seberat 5.71 kilogram (kg), syabu (2.16kg), ganja (0.67kg), ketamin (0.04kg), daun ketum (3,223.15kg), kodein (18.98 liter) dan cecair ketum (542,751 liter).

"Turut dilupuskan sebanyak 1,549 biji pil ekstasi, pil kuda, yaba dan eramin 5," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zaki Ashar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya telah merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM1.81 juta dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

"Dalam tempoh itu, kita merampas 64.55kg dadah jenis heroin, syabu (35.14kg), ganja (1.42kg), kafein (126.03kg), ketamin (0.13kg) dan daun ketum (14,628.04 kg).

Artikel Berkaitan:

"Kita turut merampas ubat batuk (157.58 liter) dan cecair ketum (2,131.96 liter), 5,664 biji pil ekstasi, yaba dan eramin 5 dan empat batang pokok ganja," katanya.

Katanya, seramai 6,879 individu telah ditahan dalam tempoh sama membabitkan pelbagai kesalahan termasuk melibatkan Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.