Putra gesa SPRM siasat Jabatan Perhutanan

Hamidah (kanan) bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM hari ini.
Hamidah (kanan) bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pihak berkenaan termasuk Jabatan Perhutanan Malaysia berikutan penerokaan haram tanah kerajaan bagi penanaman durian di Raub, Pahang.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, sejak 47 tahun, sebanyak 4,400 hektar hutan di daerah itu diteroka secara haram.

"Kita tahu hutan dijaga oleh Jabatan Perhutanan Malaysia yang ada pengarah, pegawai dan renjer," katanya.

Menurutnya, tanah rizab hutan itu dilindungi di bawah Akta Perhutanan Negara 1994 yang memberi kuasa kepada pihak Jabatan Perhutanan Malaysia melaksanakan tindakan undang-undang terhadap peneroka haram.

"Apa yang Jabatan Perhutanan telah lakukan sedangkan ada akta khas yang membolehkan mereka bertindak.

"Tak kan mereka tidak tahu apa yang berlaku pada tanah seluas itu? soalnya ketika ditemui pemberita selepas meluangkan masa lebih setengah jam membuat aduan kepada SPRM di sini hari ini.

Beliau berkata, atas dasar itu, pihaknya membuat laporan kepada SPRM.

"Kita minta supaya perkara ini disiasat kerana nampak seolah-olah berlaku rasuah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Timbalan Naib Presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, 43.

Dalam pada itu, Hamidah turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang melantik syarikat untuk mencari penyelesaian berhubung hal tersebut.

"Kita ada akta, kenapa tiada tindakan diambil? Kenapa diberi tanah yang diceroboh kepada peneroka haram?" soalnya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kerajaan berhak saman penceroboh'

'Sewakan tanah kepada kami'

Tindakan berdasarkan undang-undang: Wan Rosdy

Menurutnya, beliau bersedia menggerakkan seluruh rakyat untuk meneroka hutan secara haram sekiranya tiada tindakan diambil kerajaan.

"Jika mereka tidak dikenakan tindakan saya akan seru seluruh rakyat Malaysia meneroka hutan di negara ini kerana meneroka boleh dapatkan tanah itu," katanya.

Beliau berkata, Putra mencadangkan agar tanah bekas kebun durian tersebut dijadikan tanah rizab Melayu dan diberikan kepada bekas tentera, polis atau sesiapa yang layak.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa tanah itu diberikan kepada peneroka dan pekebun durian pada 70-an kerana jasa menentang komunis, Hamidah mencabar pihak berkenaan mengemukakan bukti.

"Tak perlu bawa kes ke mahkamah, tunjukkan saja geran," katanya.

Pada 23 Julai lalu, Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri membangkitkan isu penerokaan tanah di daerah itu untuk dijadikan sebagai kebun durian secara haram.

Raub terkenal sebagai pusat pengeluaran buah durian jenis musang king dan hasilnya dieksport ke luar negara termasuk China.