SPRM tidak pernah sekat Guan Eng masuk Sabah

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki -Foto Bernama
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki -Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki menegaskan agensi berkenaan tidak pernah menyekat bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada melakukan perjalanan ke mana-mana negeri di Malaysia.

Beliau berkata, mungkin berlaku kekhilafan ketika Guan Eng tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, semalam sehingga menyebabkan Setiausaha Agung DAP tersebut ditahan kira-kira setengah jam.

"Itu mungkin berlaku sedikit kekhilafan kerana SPRM hanya membuat permohonan untuk menyekat Lim dari ke luar negara sahaja.

"Mungkin ada kekeliruan sedikit yang timbul di situ tapi saya tegaskan di sini, SPRM tidak pernah menyekat beliau untuk masuk ke Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Selatan di sini, hari ini.

Azam Baki (tiga, kiri) ketika sesi dialog bersama media pada program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Selatan, hari ini. -Foto Bernama
Azam Baki (tiga, kiri) ketika sesi dialog bersama media pada program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Selatan, hari ini. -Foto Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng dakwa ditahan imigresen ketika masuk Sabah

Guan Eng sebelum ini mendakwa beliau tidak dibenarkan memasuki Sabah oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah atas alasan SPRM telah meletakkan halangan untuk beliau berbuat demikian.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pencerobohan tanah di Raub, Pahang yang dijadikan lokasi penanaman durian Musang King, Azam berkata, beliau telah mengarahkan SPRM Pahang untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Pejabat Daerah dan Tanah Raub serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang berhubung perkara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi mengetahui kedudukan sebenar mengenai perkara yang berlaku membabitkan peneroka di kawasan terbabit sebelum SPRM membuat sebarang keputusan lanjut berhubung perkara itu.

"Saya juga telah mengarahkan SPRM Pahang untuk melihat sebarang kerjasama yang boleh dibuat dengan pihak penguat kuasa yang terlibat dalam isu ini," katanya. - Bernama