Usaha naik taraf Gua Sireh

Pengunjung bergambar di salah satu sudut menarik dalam gua.
Pengunjung bergambar di salah satu sudut menarik dalam gua.
A
A
A

BALING - Kerja menaik taraf Gua Sireh di Kampung Dalam Wang untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan kini sudah 50 peratus siap.

Setiausaha Persatuan Penduduk Dalam Wang, Mohd Zaid Mokti berkata, usaha itu dilakukan dengan sokongan penuh Majlis Daerah Baling (MDB).

Menurutnya, kerja menaik taraf Gua Sireh mula dilaksanakan pada 23 Disember lalu dan masih diteruskan sehingga kini.

"Antara yang telah dilaksanakan ialah pemasangan papan tanda Gua Sireh di beberapa tempat di Baling, pembersihan kawasan dan pemasangan lampu dalam gua.

"Atas alternatif persatuan, kita telah memasang lampu dari pintu gua hingga hampir ke penghujung sejauh kira-kira 300 meter," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, pemasangan lampu menjadikan gua berkenaan semakin menarik dan menjanjikan kepuasan kepada pelancong.

"Saya sendiri telah merasai pengalaman apabila gua dipasang lampu, pemandangannya sangat menakjubkan. Kita boleh lihat siling dan dinding gua yang cantik.

"Ia membuatkan pengunjung yang datang akan ingin datang lagi ke gua ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaid berkata, gua berkenaan antara terbesar dan terpanjang di Asia Tenggara.

"Panjang gua ini ialah 600 meter berbanding sebuah gua di Tiangkok China yang panjangnya hanya 230 meter.

"Kita yakin dan percaya, Gua Sireh akan menjadi tumpuan dunia sekiranya semua pihak menggembleng usaha dan tenaga untuk majukan gua ini," katanya.

Katanya, pihak persatuan mengalu-alukan sumbangan atau wakaf orang ramai bagi menambah infrastruktur.

"Kita di pihak persatuan hadapi masalah kewangan untuk majukan gua, apa yang kita buat sekarang ini ikut kemampuan yang ada.

"Persatuan sangat alu-alukan sumbangan atau wakaf orang ramai. Paling utama kita masih perlukan surau dan tandas," katanya.

Beliau berkata, pondok-pondok rehat beserta tempat duduk akan dibina bagi keselesaan pengunjung.

"Semoga dengan usaha kita bangunkan gua ini akan beri manfaat kepada penduduk, pelancong, kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.

Mohd Zaid berkata, buat waktu ini tiada bayaran masuk dikenakan.

"Cuma untuk perkhidmatan juru pandu dan penggunaan lampu kita kena caj pada harga berpatutan.

"Ini kerana kita mengambil masa kerja penduduk yang menoreh getah," katanya.

Untuk pertanyaan dan sumbangan hubungi Mohd Zaid Mokti 010-3178047 atau Pengerusi Persatuan Penduduk Dalam Wang, Hassan Aziz 019-3972045.

Sumbangan boleh disalur melalui akaun Maybank 552040111559 (Persatuan Penduduk Kampung Dalam Wang).