PKPD: Lelaki gelang putih ditahan keluar lebih 24 jam

Lelaki terbabit dikesan keluar dari kawasan PKPD yang diarahkan dikuarantin.
Lelaki terbabit dikesan keluar dari kawasan PKPD yang diarahkan dikuarantin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis menahan seorang lelaki kerana keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melebihi tempoh 24 jam, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 36 tahun itu menunggang motosikal di hadapan Persiaran Amanjaya 5, Ambangan Heights dan pemeriksaan mendapati dia memakai gelang berwarna putih yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tangan kirinya.

Zon Kenanga antara tiga zon di Ambangan Heights yang diperintahkan PKPD.
Zon Kenanga antara tiga zon di Ambangan Heights yang diperintahkan PKPD.

"Dia dipercayai ketua keluarga dan tinggal di kawasan PKPD yang sedang menjalani saringan koronavirus (Covid-19).

"Semakan mendapati, lelaki berkenaan keluar dari kawasan PKPD sejak 1.32 petang pada 31 Ogos lalu. Bagaimanapun dia tidak dapat memberikan alasan munasabah berada di luar rumah sehingga boleh menyebabkan risiko lain," katanya.

Adzli berkata, tangkapan dibuat kerana dia telah melanggar Perintah Kuarantin oleh KKM serta melanggar Akta Peraturan- Peraturan PKPD dan Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki gelang putih dikesan keluar lebih 10 jam

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dikesan keluar melebihi 10 jam dari kawasan PKPD Ambangan Heights dan siasatan lanjut dilakukan.