Australia berdepan kemelesetan ekonomi

 Australia mengalami kemelesetan ekonomi buat pertama kalinya dalam hampir 30 tahun.
Australia mengalami kemelesetan ekonomi buat pertama kalinya dalam hampir 30 tahun.
A
A
A

CANBERRA - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Australia merosot 7.0 peratus pada suku Jun, mencatatkan penurunan paling besar, menurut angka yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Australia (ABS) pada Rabu.

Angka tersebut menyusuli penurunan 0.3 peratus pada suku Mac tahun ini, lapor agensi berita Xinhua.

Ia bermaksud Australia mengalami kemelesetan ekonomi buat pertama kalinya dalam hampir 30 tahun, menurut laporan oleh Australian Broadcasting Corporation.

Michael Smedes, Ketua Perakaunan Nasional di ABS, mengaitkan kemerosotan suku tahunan itu dengan pandemik global dan dasar sekatan yang berkaitan.

"Ini, dengan margin yang luas, kemerosotan KDNK suku tahunan terbesar yang dicatatkan sejak bermula pada 1959," katanya.

Laporan daripada ABS juga menunjukkan ia disebabkan peningkatan jumlah penerima dan pembayaran sokongan tambahan, faedah bantuan sosial secara tunai meningkat kepada 41.6 peratus.

Perbelanjaan untuk perkhidmatan turun 17.6 peratus selepas penurunan dalam perkhidmatan pengangkutan, operasi kenderaan dan hotel, kafe dan restoran.

"Suku bulan Jun menyaksikan penguncupan yang signifikan dalam perbelanjaan isi rumah untuk perkhidmatan kerana isi rumah mengubah tingkah laku mereka dan langkah sekatan dilaksanakan bagi membendung penyebaran Covid-19," kata Smedes.- Bernama

Artikel Berkaitan: