Inspektor mengaku tidak bersalah pecah amanah

Sharol Zaman didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM190,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Sharol Zaman didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM190,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM190,000, enam tahun lalu.

Tertuduh, Sahrol Zaman Mohd Adom, 38, ketika itu bertugas sebagai Pegawai Penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta iaitu barang rampasan berupa wang tunai berjumlah RM190,721 bersabitkan kes Simpang Pulai.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat stor barang kes, IPD Ipoh pada 11 April 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim mencadangkan jaminan RM20,000 bagi pertuduhan tersebut bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Muhamad Aizat Fakri memohon ikat jamin dikurangkan kerana tertuduh perlu menyara isteri dan dua anak kembar.

Hakim, Mohd Fauzi Mohd Nasir kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Inspektor didakwa terima rasuah

Sebutan kes pula ditetapkan pada 25 September depan.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Februari lalu, tertuduh telah dihadapkan ke mahkamah sama atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM6,000.