X

Kindly register in order to view this article
!

Pakistan kutuk Charlie Hebdo siar semula kartun Nabi Muhammad

Gambar fail menunjukkan para penunjuk perasaan membantah tindakan penyiaran karikatur Nabi Muhammad SAW oleh majalah Charlie Hebdo di Lahore, Pakistan. - Foto AFP
A
A

ISLAMABAD - Pejabat Luar Pakistan semalam mengutuk keputusan akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo untuk menerbitkan semula kartun Nabi Muhammad SAW.

Sebelum ini, ribuan orang berarak di bandar raya Pakistan pada tahun 2005 selepas majalah berkenaan menyiarkan imej tersebut.

"#Pakistan mengutuk dengan sekeras-kerasnya keputusan majalah Perancis, Charlie Hebdo untuk menerbitkan semula karikatur Nabi Muhammad yang mengaibkan," kata kenyataan Kementerian Luar menerusi Twitter.

"Perbuatan sengaja seperti itu yang mahu mengaibkan sentimen berbilion-bilion penduduk Muslim tidak boleh diwajarkan sebagai satu amalan dalam kebebasan akhbar atau kebebasan bersuara.

"Tindakan seumpama itu menjejaskan aspirasi global untuk kehidupan bersama yang aman termasuk juga sosial dan keharmonian antara agama," tambah kenyataan kementerian tersebut.

Berdasarkan undang-undang Islam Pakistan, mengaibkan Nabi Muhammad SAW boleh membawa hukuman mati.

Antara yang cedera semasa perarakan pada Januari 2015 di Karachi ialah seorang jurugambar AFP, Asif Hassan yang ditembak di bahagian belakang badannya.

Para penunjuk perasaan ketika itu melaungkan slogan termasuk 'mati untuk Perancis', mati bagi golongan yang kufur' dan 'bersedia untuk korbankan nyawa demi Nabi Muhammad.'

Seramai 12 orang termasuk sebahagian kartunis selebriti Perancis terbunuh pada 7 Januari 2015 apabila dua saudara kandung iaitu Said dan Cherif Kouachi melepaskan tembakan di pejabat Charlie Hebdo di Paris.

Akhbar itu menyatakan semalam ia mencetak semula kartun itu bagi menandakan permulaan perbicaraan beberapa orang yang dituduh bersubahat dengan dua saudara kandung berkenaan dalam kejadian tembakan tersebut di mahkamah dalam minggu ini. - AFP


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!