Malaysia baharu tidak perlukan pemimpin Umno

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - PKR Johor kesal dengan tindakan Bersatu kerana bertindak menyerap tiga Adun bebas dari Umno ke dalam parti mereka.

Pengerusinya, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan mengambil bekas pemimpin Umno untuk menyertai PH itu juga boleh dianggap sebagai khianat kepada mandat rakyat yang inginkan perubahan.

“Bukan niat PKR Johor ingin mencampuri urusan Bersatu, namun dengan penyertaan tiga bekas Umno itu telah melahirkan rasa kurang senang dan salah anggap dalam kalangan rakyat yang telah memberi mandat kepada PH pada PRU lalu.

“Secara umumnya, rakyat beri undi kepada PH dan untuk menumbangkan BN, ia juga adalah harapan agar kita dapat melaksanakan agenda reformasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hassan berkata, pihaknya berpendapat yang reformasi yang segar, menyeluruh untuk melahirkan Malaysia yang baru perlu dicapai tanpa Umno atau BN dalam kalangannya.

Beliau juga menyatakan kehadiran tiga Adun ‘lompat’ itu juga tidak memainkan peranan penting kepada parti memandangkan PH sudah pun mempunyai majoriti kerusi yang selesa dalam dewan negeri.

“Hakikat yang sebenar, penyertaan tiga bekas pemimpin Umno ini tidak memberikan apa-apa manfaat atau kebaikan buat PH di Johor.

“Kita sudah ada majoriti yang cukup selesa dalam Dun (36 kerusi). Sepatutnya dengan jumlah itu PH sudah boleh mentadbir dengan baik tanpa bantuan mana-mana bekas pemimpin Umno,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan tiga bekas wakil rakyat bebas sah menyertai Bersatu selepas beberapa bulan bergerak sebagai Adun Bebas.

Artikel Berkaitan:


Adun tersebut adalah Adun Sedili, Rasman Ithnain, Adun Endai, Alwiyah Talib dan Adun Johor Lama, Rosleli Johari.