Empat pasukan Liga-M gagal tepati masa

Selangor adalah antara pasukan yang dilaporkan telah melengkapkan proses pelesenan kelab. - Foto PJ City FC
Selangor adalah antara pasukan yang dilaporkan telah melengkapkan proses pelesenan kelab. - Foto PJ City FC
A
A
A

EMPAT pasukan Liga Malaysia (Liga-M) didapati gagal melengkapkan dokumen bagi proses pelesenan kelab mengikut tarikh akhir yang telah ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu pada 30 Ogos lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya mendapati empat pasukan terbabit yang masih belum melengkapkan proses dokumentasi adalah kerana melibatkan pihak ketiga.

“Ikutkan kebanyakan pasukan sudah melengkapkan proses dokumentasi bagi proses mendapatkan lesen masing-masing bagi saingan musim depan. Namun, terdapat empat lagi pasukan yang masih belum melengkapkan proses dokumentasi mereka.

“Kegagalan empat pasukan itu melengkapkan proses dokumentasi membabitkan pihak ketiga iaitu pihak yang berkait dengan persatuan bola sepak (FA) negeri atau kelab seperti pengurusan stadium, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.

“Mungkin ada proses dokumentasi yang melibatkan pihak ketiga ini yang memerlukan perincian lebih teliti dan sedikit tempoh masa kerana ia berkaitan dengan beberapa faktor lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam

Bagaimanapun, menurutnya, biarpun empat pasukan terbabit gagal melengkapkan proses dokumentasi mengikut tarikh yang ditetapkan FAM, ia tidak bermakna peluang untuk mereka mendapatkan lesen kebangsaan sudah berakhir.

Sebaliknya, Stuart berkata, keempat-empat pasukan berkenaan itu masih boleh menghantar dokumentasi yang telah lengkap dengan memberi penjelasan terperinci mengenai kelewatan berkenaan kepada jawatankuasa bebas untuk pertimbangan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Apabila berkaitan dengan pihak ketiga ini kita pun faham sebenarnya terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan perincian lebih teliti pihak berkenaan.

“Apa pun keempat-empat pasukan ini perlu menghantar lengkap dokumentasi masing-masing beserta dengan penjelasan mengenai kelewatan yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh jawatankuasa bebas berkenaan,” ujarnya yang enggan mendedahkan empat pasukan terlibat.

Ketika ditanya mengenai dokumentasi berkaitan kewangan yang mana semua pasukan Liga-M diberikan tempoh sehingga 15 September ini, Stuart memberitahu, “Pada saya proses ini tidaklah rumit untuk dilengkapkan semua pasukan mengikut tarikh yang ditetapkan FAM."

Katanya, masalah mungkin timbul kepada pasukan yang berdepan isu tunggakan gaji sebelum ini berikutan perlu menyelesaikan perkara itu atau setidak-tidaknya mereka perlu mendapatkan persetujuan bersama dengan pemain terlibat sebelum menyerahkan dokumen berkaitan kewangan pasukan.