Prihatin hadapi cabaran bersama

A
A
A

SAMBUTAN ulang tahun kemerdekaan yang ke-63 kali ini lebih bermakna apabila Barisan Nasional pada hari Sabtu, 29 Ogos lalu berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan majoriti 10,945 undi, lebih besar daripada rekod Pilihan Raya Umum ke-14.

Tahniah sahabat, Mohd Zaidi Aziz!

Bertemakan Malaysia Prihatin, sambutan hari kemerdekaan kali ini tampak lebih sederhana.

Ia tidak melibatkan ramai peserta dan penonton demi menepati prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang masih menghantui masyarakat dan ekonomi kita.

Kita kini berada pada bulan September dan mengikut pakej pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 ini, moratorium pinjaman bank akan berakhir pada hujung bulan ini.

Bermula 1 Oktober 2020, rakyat khususnya yang mempunyai pembiayaan bank harus kembali membuat bayaran balik kepada pihak bank masing-masing.

Bagi mereka yang tidak mempunyai pembiayaan bank atau berkemampuan untuk membayar obligasi bayaran balik sewaktu PKP dilaksanakan, moratorium ini mungkin tidak bermakna apa-apa.

Tetapi bagi mereka yang mempunyai pembiayaan untuk membina keluarga dan kehidupan serta yang berpendapatan rendah, moratorium ini memberi kelegaan besar dalam kehidupan seharian mereka.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, kita harus memikirkan mereka yang baru kehilangan pendapatan dan pekerjaan. Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran negara pada tahap 4.9 peratus sehingga Jun 2020 dan terdapat lebih 772,300 orang tidak bekerja.

Apakah yang bakal terjadi pada kehidupan mereka berserta keluarga sekiranya mereka gagal melunaskan komitmen bulanan mereka dengan bank selepas ini?

Oleh yang demikian, penulis dan teman-teman dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menyampaikan keluhan dan rintihan mereka kepada pihak kerajaan serta mencadangkan agar dipertimbangkan moratorium ini dipanjangkan sehingga ke akhir tahun 2020.

Fleksibiliti

Pihak kerajaan melalui Kementerian Kewangan menerima baik aduan kami ini dan menggalakkan bank-bank untuk membantu.

Bank-bank ini difahamkan telah melaksanakan program lanjutan moratorium secara bersasar serta memberikan fleksibiliti pembayaran balik pembiayaan sejak awal Ogos lagi.

Melalui usaha itu, sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada mereka yang benar-benar memerlukan untuk hidup dan memulakan kehidupan semula.

Penulis menyeru kepada yang memerlukan lanjutan ini untuk membuat permohonan dan berunding dengan bank masing-masing untuk diambil kira keadaan diri dan keluarga bagi membolehkan moratorium ini dipanjangkan sehingga akhir tahun ini.

Ingatlah bahawa wabak Covid-19 ini adalah satu bencana yang menjadi pengajaran bagi kita semua.

Siapa boleh menyangka, bahawa tahun 2020 di mana kita berharap untuk menyambut kemerdekaan sebagai negara maju kini kita terpaksa berhadapan dengan impak negatif ekonomi yang cukup ketara.

Ini bertepatan dengan pengumuman DOSM bahawa ekonomi negara telah menguncup sebanyak -17.1 peratus pada suku kedua tahun 2020, iaitu terendah sejak tahun 1998 iaitu -11.2 peratus. Penguncupan ini seiring dengan data pengangguran yang menyaksikan ramai kehilangan pekerjaan.

Justeru, penulis berharap semua pihak dapat menjalankan tanggungjawab secara bersama untuk kita mengharungi cabaran ekonomi yang besar ini. Untuk itu, kita harus bersiap sedia dan sentiasa mengingatkan antara satu sama lain.

Ada yang perlu dapatkan latihan untuk tingkatkan skil, kita galakkan dan permudahkan. Ada yang belum memohon lanjutan moratorium, kita ingatkan.

Ada yang baru habis belajar, cuba bantu untuk berniaga. Pokoknya, kita hidup bersatu, bermasyarakat dan prihatin sesama kita.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia