Gesa menteri pendidikan pulihkan keyakinan ibu bapa

Mohd Ashraf
Mohd Ashraf
A
A
A

YAN - Menteri Pendidikan digesa untuk bertindak lebih proaktif dalam memulihkan keyakinan ibu bapa ke atas sistem pendidikan vokasional melalui Kolej Vokasional (KV) di bawah sistem Kementerian Pendidikan Malaysia.

Exco Pendidikan Armada Bersatu, Mohd Ashraf Badrul Munir berkata, sikap kerajaan lalu yang begitu culas dalam memastikan agenda transformasi bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khususnya di KV milik kerajaan memberi impak negatif ketika ini.

Katanya, lebih menyedihkan apabila kerajaan lalu dilihat tidak mempunyai hala tuju dalam mengendalikan pendidikan vokasional dengan tiada laluan pendidikan yang jelas.

"Malah kerajaan lalu di bawah BN telah merumitkan lagi keadaan apabila seakan mewujudkan ‘buffer system’ dalam laluan pendidikan TVET berfaktorkan peluang dan ruang pekerjaan yang tidak pernah diwujudkan dengan ketara dalam menyediakan produk TVET ke dalam pasaran," katanya.

Menurut Mohd Ashraf, lebih teruk lagi apabila hala tuju yang samar ini turut telah gagal untuk menakrifkan akreditasi MQA bagi mengiktiraf kursus-kursus Diploma Vokasional melalui di KV dan kesannya telah dapat dilihat menerusi sesi kemasukan pelajar baru-baru ini.

"Kami merasakan Menteri Pendidkan Dr. Maszlee Malek perlu lebih agresif dalam menangani kepincangan kemasukan pelajar ke Kolej Vokasional.

"Ini apatah lagi demi memperkasakan agenda nasional untuk menyediakan rakyat Malaysia menghadapi era Revolusi Industri 4.0," katanya.

Mohd Ashraf berkata, kajian Agra mendapati kemasukan ke KV baru-baru ini adalah begitu mengejutkan apabila rata-rata fasa satu gagal mencapai peratusan lazim sebelum ini pada anggaran sebanyak 70 peratus pada hari pertama kemasukan ambilan sesi pertama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Ashraf, keadaan ini dipercayai berpunca daripada penawaran kursus di KV yang telah berkurangan kepada hanya 287 jenis kursus meliputi KV seluruh negara berbanding 640 kursus yang ditawarkan tahun sebelum ini.

"Malah kita mendapati terdapat sebuah KV di Perak yang telah mencapai peratusan kemasukan terendah kebangsaan dengan hanya tujuh orang pelajar mendaftar dari 120 ruang kemasukan baru-baru ini, bererti hanya 5.8 peratus ‘enrolment’ di KV tersebut dari jumlah penuh.

"Kita menggesa, pihak kerajaan Pakatan Harapan mengambil suatu langkah yang benar-benar proaktif bagi menangani isu ini," katanya.