Implikasi bantuan JKM naik RM1,000 sebulan

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan membawa usul pada mesyuarat Jemaah Menteri supaya bantuan bulanan JKM sebanyak RM300 dinaikkan kepada RM1,000 sebulan. - Foto 123RF
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan membawa usul pada mesyuarat Jemaah Menteri supaya bantuan bulanan JKM sebanyak RM300 dinaikkan kepada RM1,000 sebulan. - Foto 123RF
A
A
A

TAN Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu mengumumkan akan membawa usul supaya bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dinaikkan kepada RM1,000 sebulan.

Cadangan berkenaan dijangka dikemukakan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu ini.

Usul itu sangat dialu-alukan kerana ia sejajar dengan kenaikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) pada Julai lalu daripada RM980 kepada RM2,208.

Bantuan kewangan RM300 yang diterima sekarang sebenarnya tidak sampai 15 peratus daripada PGK terbaharu itu.

Kadar bantuan JKM itu juga dianggap sangat tidak munasabah terutama bagi orang miskin di bandar.

Dengan RM300, penerima cuma boleh membeli kira-kira dua kampit beras 10 kilogram (kg), tiga bungkus gula pasir, dua botol minyak masak 5kg serta beberapa barang basah dan barang dapur lain yang boleh bertahan selama seminggu sahaja.

Itu belum termasuk bil air, bil elektrik dan petrol kenderaan.

Buat masa ini, bilangan penerima bantuan JKM adalah kira-kira 500,000 orang melibatkan peruntukan RM150 juta sebulan.

Artikel Berkaitan:

Dengan cadangan terbaru itu, angka tersebut dijangka meningkat tiga kali ganda selain pertambahan jumlah penerima bantuan.

Peningkatan itu adalah besar, malah kerajaan dikatakan terpaksa memperuntukkan sehingga RM18 bilion setahun.

Bak kata Muhyiddin semasa berucap pada majlis bersama masyarakat di Sandakan, Sabah, beliau tidak peduli implikasinya.

Yang penting, katanya, ialah mata pencarian rakyat di akar umbi kerana mereka telah menderita sejak sekian lama.

Sekiranya bantuan RM1,000 itu diberikan kepada golongan memerlukan, ia sangat membantu di samping meningkatkan kuasa beli dalam negara.

Bagaimanapun, kerajaan tidak wajar mengabaikan sama sekali kebimbangan NGO mengenai kemungkinan berleluasanya kumpulan ‘penagih bantuan’ yang tidak mahu berusaha keluar daripada kepompong kemiskinan.

Kerajaan hendaklah memikirkan implikasi keputusan itu secara realistik sesuai dengan kemampuan kewangan negara, bukan sekadar menjadi umpan pilihan raya.