RPDR-PKPP perjelas isu pendudukan tanah

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Pihak pengurusan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) menafikan pelbagai dakwaan berhubung skim pengesahan pendudukan tanah yang diuruskan syarikat tersebut.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, RPDR-PKPP tampil memberi penjelasan terhadap semua tuduhan berkenaan termasuk dakwaan bahawa syarikat terbabit mempunyai prestasi kewangan yang lemah.

Menurut kenyataan tersebut, kelemahan prestasi kewangan yang didakwa sebenarnya merujuk kepada Royal Pahang Durian Produce Sdn Bhd (RPDP) iaitu pemilik ladang durian seluas 400 hektar di Tras, Raub.

“Liabiliti yang ditunjukkan adalah jumlah hutang kepada pemegang saham yang telah menyuntik dana persendirian kepada syarikat sebagai pinjaman dengan tempoh matang selama enam tahun. Justeru, syarikat berkenaan masih belum mempunyai hasil jualan dan pendapatan,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, RPDP menjangkakan memperoleh pendapatan pertama pada tahun 2022.

“Pelaburan pemegang saham jelas mencerminkan kekuatan kewangan syarikat, malah RPDP telah diberikan status pengecualian cukai selama 10 tahun oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2019,” katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan, tiada pekebun yang menyokong skim pengesahan tidak tepat kerana ketika ini kira-kira 300 petani telah mendaftar.

“Seramai 133 orang daripadanya telah membuat pengesahan dan sebahagiannya membayar wang perolehan RM1,000 seekar iaitu sehingga RM10,000 bagi setiap pemohon yang melebihi 10 ekar tanah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, baki wang perolehan berdasarkan keputusan akhir juruukur berlesen perlu dibayar setelah menandatangani perjanjian akhir dengan RPDR-PKPP. Jelas kenyataan itu, isu levi RM20,000 seekar yang didakwa terlampau tinggi tidak timbul kerana jumlah yang ditetapkan merupakan jumlah siling maksimum yang akan diterima RPDR-PKPP.

“Bayaran tersebut akan dikeluarkan Royal Pahang Durian Export Sdn Bhd iaitu syarikat perdagangan. Justeru, tiada penalti akan dikenakan sekiranya pekebun gagal memenuhi sasaran pengeluaran seperti dalam terma.

“Jika pekebun hanya menghasilkan 1,000 kilogram seekar atau kurang, RPDR-PKPP akan menerima RM10,000 seekar atau kurang.

“Bagaimanapun, skim pengesahan RPDR-PKPP mempunyai tugas memantau dan memastikan pekebun tidak melakukan pencerobohan berpanjangan,” jelasnya.

Jelas kenyataan itu, RPDR-PKPP turut menanggung kos operasi tahunan tetap merangkumi kos pentadbiran, kos kakitangan membabitkan lebih 150 orang, pengawasan lokasi perlindungan alam sekitar, pemantauan satelit untuk mengekang pencerobohan, kos permohonan dan penyelenggaraan pensijilan MyGAP, kos sewa, penilaian, cukai tanah dan sebagainya.

“Berhubung kadar sewaan RM6,000 per ekar seperti yang didakwa Save Musang King Alliance (Samka), RPDR-PKPP ingin menegaskan bahawa ia bayaran satu kali sahaja bagi tahun 2020.

“Bayaran itu terpakai untuk tanaman durian matang pada kiraan 30 pokok per ekar. Sebagai balasan, pekebun dibenar memasarkan durian mereka secara terus di pasaran terbuka sehingga 31 Mei 2021.

“Keperluan menjual durian kepada Royal Pahang Durian Export Sdn Bhd berkuat kuasa bermula 1 Jun 2021.

“Bagi meringankan beban kewangan pekebun, RPDR-PKPP bersetuju dengan kaedah bayaran ansuran sama rata sebanyak tiga kali pada September dan Disember 2020 serta Mac 2021,” katanya.