Zlatan Ibrahimovic tekad pacu AC Milan

Ibrahimovic (tengah) berjaya menyuntik semangat baharu dalam kalangan rakan-rakan sepasukannya sejak menyertai Milan Januari lalu.
Ibrahimovic (tengah) berjaya menyuntik semangat baharu dalam kalangan rakan-rakan sepasukannya sejak menyertai Milan Januari lalu.
A
A
A

ZLATAN Ibrahimovic berikrar memacu AC Milan kembali mengecap kemasyhuran selepas bersetuju menyambung kontraknya selama setahun lagi bersama kelab handalan Itali itu.

Kehadiran bekas kapten skuad kebangsaan Sweden itu di Milan sejak Januari lalu ternyata memberi impak positif apabila dia merekodkan 11 gol dalam 20 penampilan buat The Rossoneri.

“Saya hadir ke sini untuk membawa Milan kembali ke tahap sebenar mereka yang mana mereka sepatutnya berada. Saya akan melakukan segala-galanya untuk mencapai matlamat yang saya tetapkan.

“Kami harus bekerja keras dan berkorban. Dalam tempoh enam bulan terakhir lalu, kami telah membuktikan bahawa kami memiliki apa yang diperlukan untuk mencapai tujuan tertentu.

“Namun, kami tidak boleh lupa bahawa kami belum memenangi sebarang trofi kejuaraan. Di minda saya, matlamatnya sering terarah kepada keinginan untuk memenangi sesuatu. Musim ini (2020/2021) kami mesti menang,” katanya.

Musim lalu, Milan menamatkan Serie A dengan rekod tanpa kalah dalam 12 aksi terakhir, sekali gus menghuni tangga keenam dan meraih slot dalam Liga Europa.

“Milan perlu meneruskan semangat sebagaimana ketika penghujung musim lalu. Kami harus bekerja keras dan memiliki kepercayaan seperti mana yang telah kami lakukan sebelum ini.

“Kami perlu beraksi dengan rasa bangga dan penuh yakin. Ingatlah ketika anda menyarung jersi Milan, ia adalah satu keistimewaan yang sangat besar tetapi pada masa yang sama menjadi satu tekanan.

Artikel Berkaitan:

“Seluruh pasukan melakukannya dengan baik dan memahami apa yang diperlukan untuk sampai ke puncak Sekarang, kami perlu mengerahkan kudrat bermula hari pertama lagi,” jelasnya.