'Saya bukan anti orang kaya'

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah mahu menegakkan keadilan dengan membuka pintu seluas-luasnya kepada golongan miskin dan rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun berkata, pendirian itu disalahertikan sesetengah pihak kononnya beliau anti orang kaya.

Beliau berkata, persepsi sebegitu merugikan ekonomi negeri khususnya dalam membawa masuk peluang pelaburan.

Sedangkan, katanya, kerajaan negeri hanya mengamalkan prinsip kepimpinan yang adil dan saksama kepada semua golongan.

“Terdapat sesetengah pendapat menilai saya seperti itu. Disebabkan latar belakang yang berasal dari keluarga miskin, saya dilabelkan sebagai anti orang kaya. Saya berpaksikan kepada prinsip, tanggungjawab dan harapan untuk menjadikan Kedah sebuah negeri untuk orang miskin berteduh dan negeri untuk orang kaya berbakti,” katanya ketika berucap melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 sempena 100 hari pentadbiran Kedah Sejahtera di Seri Mentaloon di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sentiasa menyambut baik mana-mana pelabur yang ingin melabur ke Kedah.

“Saya beri jaminan kita buka peluang untuk semua, tidak kira sama ada anak Kedah atau bukan untuk datang melabur. Yang penting, kekayaan itu diperoleh dengan cara betul, beretika dan mematuhi undang-undang,” katanya.

Menurutnya, kesepakatan bukan hanya perlu di peringkat negeri, malah hubungan dengan Kerajaan Persekutuan perlu sentiasa diperkukuhkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri berusaha memulihkan sektor pelancongan dengan mengalih tumpuan kepada pelancongan domestik.

“Pulau Langkawi mencatatkan kejatuhan pelancong terutama dari luar negara hampir 65 peratus. Sehingga Ogos lalu, kemasukan pelancong ke Langkawi hanya hampir sejuta orang dan melibatkan pelancong domestik sahaja," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, program ‘Redah Kedah’ dilancarkan untuk mempromosikan tempat-tempat menarik melalui saluran YouTube dengan menyasarkan pelancong dalam negara.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri turut menjenamakan setiap daerah dengan identiti unik iaitu Kubang Pasu sebagai daerah ilmu & logistik, Kota Setar (warisan), Langkawi (pelancongan pulau), Pokok Sena (SME ), Padang Terap (getah), Sik (pendidikan agama), Pendang (usahawan), Yan (pelancongan desa), Baling (pelancongan eko), Kuala Muda (industri dan komersial), Kulim (teknologi tinggi) serta Bandar Baharu (durian).