X

Kindly register in order to view this article
!

Dua apartment Jackie Chan bakal dilelong

Jackie Chan
A
A

PELAKON legenda dari Hong Kong, Jackie Chan dilaporkan melelong dua buah apartment mewah di Beijing susulan perselisihan hak milik.

Menurut South China Morning Post (SCMP), hartanah itu kini diletakkan dalam laman web lelongan di negara itu.

Kedua-dua buah rumah yang terletak di pusat bandar Dongcheng itu dikhabarkan akan dibuka untuk bidaan dengan nilai permulaan 71.9 juta yuan (kira-kira RM43 juta).

Difahamkan hartanah itu pernah menjadi tempat tinggal buat keluarga pelakon aksi itu sejak 2007.

Dengan keluasan 1,217 meter persegi dengan enam bilik tidur serta tiga ruang tamu yang dianggarkan bernilai 100 juta yuan (kira-kira RM60.8 juta).

Laporan juga menjelaskan, sesi lelongan itu akan bermula pada 28 September ini dengan lebih 600 pengguna berdaftar telah menunjukkan minat ke atas unit itu sejak kelmarin.

Difahamkan, hartanah itu dijual kepada Jackie Chan pada akhir tahun 2007 oleh syarikat pemaju Beijing, Yujia Real Estate dengan harga sekitar 33.6 juta yuan (AS$4.9 juta) di atas kerja-kerja promosi yang dijalankan Chan dengan syarikat itu.

Bagaimanapun, setelah Jackie Chan dan keluarganya tinggal di situ lebih sedekad, syarikat berkenaan tidak memberikan sebarang kertas hitam putih untuk memindahkan hak milik rumah berkenaan kepada Chan.

Malah, difahamkan, sebuah lagi syarikat pemaju hartanah Beijing, Tenhong Real Estate Group juga mengemukakan tuntutan timbang tara terhadap Yujia Real Estate berhubung pertikaian hutang dan mahkamah memerintahkan kesemua aset syarikat itu disita, termasuk dua rumah yang dibeli oleh Chan.

Jackie Chan terkenal di dalam dan luar negara sebagai pelakon aksi dan penyanyi, namun baru-baru ini beliau mendapat kritikan dan kecaman di Hong Kong berikutan pandangan politiknya.

Dalam pada itu, lapor beberapa agensi berita tempatan China juga, rumah berkenaan merupakan rumah yang sama yang dikaitkan dengan kes jenayah melibatkan anak lelaki pelakon itu, Jaycee Chan berkaitan kes penyalahgunaan dadah jenis ganja.

Pada Ogos 2014, Jaycee yang lebih dikenali sebagai Jaycee Fong Cho-ming ditahan bersama pelakon Taiwan, Ko Chen-tung atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Kes itu merupakan kes berprofil tinggi kerana melibatkan jenayah dadah terbesar di negara itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!