Najib, lembaga pengarah tak tahu urus niaga 1MDB GIL, Devonshire

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ahli lembaga pengarah 1MDB tidak mengetahui urus niaga membabitkan 1MDB Global Investments Ltd (1MDB GIL) dan Devonshire Capital Growth Fund (Devonshire).

Saksi kesembilan pendakwaan bagi kes rasuah 1MDB dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Seri Najib Razak itu berkata, ahli lembaga pengarah dan bekas Perdana Menteri itu tidak dimaklumkan mengenai dana 1MDB GIL dimasukkan ke Devonshire.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak dapat dipastikan sama ada pihak pemegang saham mengetahui perkara berkenaan atau tidak.

Ketika soal balas oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib, Shahrol berkata, ahli lembaga pengarah juga tidak berbincang mengenai pengambilalihan Devonshire Funds Ltd.

Meskipun 1MDB disenaraikan sebagai pemilik berfaedah dalam dokumen transaksi Mac 2013, namun beliau berkata, Najib dan ahli lembaga pengarah tidak mengetahui peranan anak syarikat berkenaan.

Wan Aizuddin: Saya tunjukkan dokumen transaksi yang dilakukan oleh 1MDB GIL kepada Devonshire berjumlah AS$646 juta atau RM2.6 bilion. Adakah lembaga pengarah bersetuju atau meluluskan pengambilalihan Devonshire?

Shahrol: Tidak.

Wan Aizuddin: Boleh Datuk sahkan, ia tidak dibincang dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah. Tiada minit oleh pemegang saham mengenai pengambilalihan anak syarikat itu?

Artikel Berkaitan:

Shahrol: Ya, tiada.

Wan Aizuddin: Jadi, transaksi dari 1MDB GIL ke Devonshire dibuat tanpa pengetahuan mereka?

Shahrol: Saya boleh sahkan, ahli lembaga pengarah tidak tahu tetapi saya tak boleh cakap mengenai pemegang saham, sama ada mereka tahu atau tidak.

Pada Mac 2013 lalu, 1MDB melalui pelaburannya, 1MDB GIL berjaya mengumpulkan AS$3 bilion melalui penerbitan bon dan memasukkan nilai itu ke syarikat usaha sama yang diakui antara 1MDB dan Aabar Investment PJS (Aabar) atau Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC).

Dalam pernyataan pembukaan kes itu, pihak pendakwa mengemukakan bahawa sejumlah AS$646 juta dan AS$414 juta dipindahkan dari ADMIC dan sebuah firma lain, EEMF ke Devonshire.

Wang itu kemudian dipindahkan ke beberapa entiti lain sehingga mereka berakhir dengan Tanore Finance, sebuah syarikat yang dikendalikan oleh Eric Tan, tokoh yang dikenal pasti oleh pihak pendakwaan sebagai ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Tanore Finance didakwa memindahkan sejumlah AS$681 juta ke akaun Najib, wang yang telah dikatakan sumbangan dari kerajaan Arab Saudi.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala peguam yang mewakili Najib diketuai oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.