'Pembangkang menentang usaha retorik fanatik agama'

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas menentang sebarang usaha retorik fanatik agama atau kaum yang disifatkan berterusan cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia.

Mengambil contoh kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh dalam komen berkait kitab Injil di Parlimen baru-baru ini, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat menyifatkan sikap dipamerkan Ketua Dewan Ulamak Pas itu sebagai kurang bijak, tidak peka dan mencerminkan pemahaman Islam rendah etika tatkala berbahas dengan penganut agama lain.

Menurutnya, dialog antara umat Islam dan Kristian sewajarnya dipaksikan pada semangat persaudaraan sebagaimana ditegaskan ALLAH SWT melalui ayat 64 Surah Ali 'Imran.

"Ayat al-Quran Surah Ali 'Imran: 64 bermaksud 'Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu' yang menyeru persaudaraan atas asas mentaati Tuhan yang satu.

"Jika niat beliau (Nik Zawawi) bertujuan mengajak orang ramai memahami Islam, adalah mustahak untuk menggunakan 'kebijaksanaan dan nasihat yang baik' (Surah An-Nahl: 125) yang bermaksud saling menghormati antara satu sama lain.

"Jika perkataan kita itu menimbulkan perseteruan dan kesalahfahaman, maka jalan terbaik adalah menonjolkan kerendahan hati dengan mengakui kemungkinan terdapat kesalahan dalam pendekatan kita itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata, umat Islam mampu membawa dan mencipta kerukunan dengan memperteguhkan akhlak dan teladan Rasul yang menegaskan aspek kasih sayang dan sikap belas kepada jiran-jiran tanpa mengira agama.

Menurutnya, perutusan kemerdekaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sambutan hari kemerdekaan negara ke-63 semalam seharusnya mencerminkan komitmen beliau dalam memperkukuh perpaduan dan menolak fahaman kefanatikan.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat Malaysia juga sedar bahawa dalam usaha kita (kerajaan) dalam mendepani cabaran seperti pengangguran, kemunduran ekonomi, tahap pendidikan semakin merudum, kebejatan dan kefanatikan agama bergantung pada sikap kita dalam memastikan prinsip keadilan, kesaksamaan dan sikap belas kepada semua dipraktikkan.

"Tidak harus ada yang terkecuali dari hukum, dan keadilan mesti ditegakkan," katanya.

Pada 26 Ogos lalu, Nik Zawawi ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat berkata, tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.

Dia kemudian dicelah oleh Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang mengatakan bahawa kenyataan Nik Zawawi itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan. Koo Ham turut meminta supaya Zawawi memperbetulkan kenyataannya.

Nik Zawawi bagaimanapun ketika itu mempertahankan kenyataannya.

Susulan itu, Persatuan Gereja di Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta beberapa ahli politik pembangkang menggesa Nik Zawawi menarik semula kenyataannya itu dan memohon maaf.

Ketua Biskop Simon Poh menerusi kenyataannya yang disiarkan dalam Malay Mail berkata, kenyataan Nik Zawawi tidak sensitif dan melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 yang menjamin hak kebebasan beragama.

Dalam kenyataan balas, Ahli Parlimen daripada Pas itu berkata, beliau bersedia untuk berdialog secara harmoni dengan mana-mana ahli Parlimen susulan kenyataannya berhubung isu meminum arak di dalam kitab Injil.