Agong titah pentingnya peranan wartawan sukan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sumbangan pengamal media sukan khususnya Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dalam membantu pembangunan sukan negara amat nyata sekali dengan memberi laporan, publisiti dan komen mengenai prestasi atlet negara.

"Saya yakin SAM kini semakin matang dan berpengalaman sekali gus dapat menjadi pemangkin pembangunan sukan negara," baginda bertitah menerusi rakaman video yang disiarkan pada Anugerah SAM-100PLUS 2019 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada SAM atas kejayaan melangsungkan majlis anugerah SAM-100PLUS pada tahun ini di bawah kebiasan baharu sekali gus meneruskan tradisi penganjuran acara berprestij yang telah bermula sejak 1985 lagi.

Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut sama membantu menjayakan acara berprestij itu, serta ahli SAM yang diketuai oleh Presidennya Datuk Jasni Shafie.

"Sebagai peminat sukan, saya juga mahukan seluruh rakyat agar menghayati budaya bersukan dan menjadikan ia sebagai amalan hidup sihat kita seharian. Bersenamlah dan lakukan aktiviti riadah yang sihat untuk memastikan hidup kita sentiasa aktif.

"Mengakhiri titah, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pengamal media sukan dan ahli sukan yang menerima anugerah sukan dan ahli sukan yang menerima anugerah pada kali ini dan jadikanlah kejayaan ini sebagai pemangkin untuk kejayaan lebih besar selepas ini," titah Yang di-Pertuan Agong.

Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang dan atlet powerlifting negara Bonnie Bunyau Anak Gustin masing-masing dinobat sebagai Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik pada Anugerah SAM-100PLUS 2019. - Bernama

Artikel Berkaitan: