Senarai pembahagian kerusi UMNO hampir selesai

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] UMNO kini sudah berada dalam kedudukan bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila senarai kerusi Parlimen sudah hampir selesai.

Dijangkakan proses pembahagian kerusi bersama dengan komponen Barisan Nasional (BN), kerjasama Muafakat Nasional bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat dimuktamadkan pada penghujung bulan ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbincangan tersebut penting bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru menjelang PRU15 nanti.

"Dalam UMNO sudah hampir selesai tetapi kita belum memutuskan dengan BN dan dengan Pas masih belum lagi berunding, masih ada masa lagi.

"Saya tidak nampak ada masalah dalam BN dan juga pembahagian kerusi dengan Pas tetapi kompleks nanti (pembahagian kerusi) dengan Bersatu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu berkata, UMNO mahu perbincangan mengenai pembahagian kerusi itu disegerakan kerana ia merupakan perbincangan yang rumit.

"Kita mahu segerakan hujung bulan September ini untuk kita selesaikan pembahagian kerusi kerana pembahagian kerusi agak kompleks. Kalau tidak selesai pembahagian kerusi maka kita susah hadapi pilihan raya, pilihan raya akan berjaya jika pembahagian kerusi dapat diselesaikan dengan harmoni," katanya.

Ketika ditanya formula yang akan digunakan untuk pembahagian kerusi itu, Mohamad berkata, UMNO telah menetapkan untuk bertanding dalam semua kerusi yang telah dimenangi pada PRU14.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu, kerusi yang kalah tetapi kita dapat undi kedua terbanyak juga akan dijadikan sebagai asas untuk meminta kerusi tersebut supaya menjadi kerusi BN dan UMNO," katanya.

Menurut Mohamad, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah dilantik bagi mempengerusikan Jawatankuasa Perunding bagi mewakili parti itu dengan parti-parti dalam BN, Muafakat Nasional dan Bersatu.