Veteran UMNO desak segera bubar Parlimen

Mustapha Yaakub
Mustapha Yaakub
A
A
A

KUALA LUMPUR - Veteran UMNO mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, PRU15 perlu segera diadakan untuk mendapat mandat baharu rakyat bagi memastikan kerajaan memerintah mempunyai mandat yang lebih kukuh.

Menurutnya, sokongan daripada hanya 113 ahli Parlimen di Dewan Rakyat telah meletakkan kedudukan PN tidak stabil serta terus dijaja sebagai kerajaan pintu belakang dan tebuk atap oleh pembangkang.

"Sehubungan itu, veteran UMNO Malaysia menyokong saranan pucuk pimpinan Pas dan UMNO yang mewakili Muafakat Nasional supaya kerajaan sekarang (PN) segera membubarkan Parlimen.

"Ini berdasarkan jumlah undi di (Dewan Rakyat) apabila PN hanya mendapat kelebihan tiga undi. Keadaan ini boleh meruntuhkan kerajaan pada bila-bila masa sahaja," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ku Li gesa menteri UMNO undur segera dari Kabinet

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum ini Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah juga meminta agar semua Ahli Parlimen UMNO agar meletakkan jawatan dalam kerajaan.

"Dengan pembubaran Parlimen maka dengan sendirinya saranan Ku Li yang meminta Ahli Parlimen UMNO keluar daripada PN terjawab kerana mereka tidak perlu lagi keluar, cukup dengan adakan PRU," katanya.

Tambahnya, dengan menyerahkan semula mandat kepada rakyat maka keputusan diperoleh kelak juga akan menjadi satu keputusan muktamad yang tidak boleh lagi dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan: