Covid-19: Lagi kematian daripada Kluster Tawar

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan satu lagi kematian berkaitan Covid-19 melibatkan Kluster Tawar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa merupakan seorang wanita berumur 80 tahun.

"Pesakit mempunyai latar belakang penyakit barah paru-paru dan darah tinggi," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, pesakit ke-9,174 itu dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Ogos lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Enam kes baharu, satu lagi kematian direkodkan

"Mangsa mula mengalami gejala demam dan sakit dada sejak 6 Ogos dan telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang pada 14 Ogos," katanya.

Katanya, kesihatan pesakit berkenaan mula merosot dengan komplikasi penyakit barah dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 24 Ogos.

"Pesakit disahkan meninggal dunia jam 10.38 pagi tadi. Kes ini menjadikan jumlah kes kematian Covid-19 meningkat kepada 128 kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, KKM merekodkan satu kes kematian membabitkan Kluster Tawar.

Sementara itu, menurut Dr Noor Hisham terdapat 14 kes baharu positif Covid-19 direkodkan KKM semalam.

"Daripada jumlah itu, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan ketika berada di Ukraine, Pakistan, Indonesia dan dua dari Filipina," katanya.

Beliau berkata, KKM turut mengesan sembilan kes penularan dalam negara iaitu dua kes di Kedah, masing-masing satu kes daripada Kluster Tawar dan Telaga," katanya.

Beliau berkata lagi, Sabah mencatatkan tiga kes masing-masing terdiri daripada satu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Lahad Datu dan tahanan di penjara dan lima kes Kluster Benteng LD.

"Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 adalah 9,354 kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 151 kes. "Lima kes diletakkan di unit rawatan rapi (ICU) dan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Seramai 21 pesakit Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj. Jumlah kumulatif kes sebanyak 9,075 kes iaitu 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

[LIVE] Sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan https://t.co/RJcpavGD26

— SinarOnline (@SinarOnline) September 1, 2020