'Saya belum fikir nak masuk parti lain'

Osman (duduk, dua dari kanan) pada majlis penyerahan sumbangan kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan yang melanjutkan pelajaran di IPT di Pontian hari ini.
Osman (duduk, dua dari kanan) pada majlis penyerahan sumbangan kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan yang melanjutkan pelajaran di IPT di Pontian hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Bekas Menteri Johor, Datuk Osman Sapian terbuka menerima apa sahaja tindakan parti terhadapnya berikutan video tular beliau memberi sokongan terhadap calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu berkata, terserah kepada pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mengenakan tindakan termasuk dipecat daripada parti.

Bagaimanapun, Osman yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam berkata, beliau masih sayangkan parti dan antara pelopor di awal penubuhan Bersatu di Johor.

Malah, katanya, beliau akan kekal duduk di sebelah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Gambir pada sidang DUN Johor yang dijadualkan bermula pada 10 September ini.

"Saya masih lagi duduk di sebelah Muhyiddin sebab masih lagi kerusi Bersatu. Tetapi kalau saya dipecat sebelum 10 September ini, maka saya kena duduk di kerusi Bebas.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu Pulai mahu Osman dikenakan tindakan disiplin

Osman perlu buat permohonan maaf terbuka

"Hendak masuk parti lain, itu belum saya fikirkan lagi," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan yang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi (IPT) daripada Yayasan Harapan Pontian di Kukup di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Harapan Pontian, Zulkifli Tasrep.

Sementara itu, Osman mengakui beliau merupakan individu di dalam video yang tular tersebut.

Menurutnya, beliau berbuat demikian kerana mahu meluahkan segala perasaan terbuku dalam dirinya dan akar umbi sejak Bersatu menjadi sebahagian kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, Bersatu kini dilihat seakan dibuli UMNO termasuk tidak diberi ruang sewajarnya dalam kedudukan jawatan dan digasak dengan pelbagai tohmahan.

"Daripada pemimpin pusat sehingga negeri, UMNO kata kita tak wajar diberikan sebarang kerusi dan hanya menumpang pengaruh orang.

"Mengapa kita diam? Tiada orang kita mempertahankan parti. Mengapa tiada tindakan diambil kepada UMNO.

"Sebab itu saya buat macam ini supaya ada kesedaran di peringkat kepimpinan dan ahli parti," katanya.

Osman bagaimanapun tetap dengan pendirian bahawa tindakannya menyokong calon Bebas pada PRK DUN Slim baru-baru ini sebagai tidak salah.

"Salah ke tindakan saya berkempen untuk calon Bebas sedangkan Bersatu belum diterima secara rasmi masuk ke dalam Muafakat Nasional (MN).

"Mana tahu selepas ini Amir Khusyairi terbuka menyertai Bersatu pula," katanya.