Maahad tahfiz gabung sains, teknikal dibangunkan di Kedah

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah maahad tahfiz yang menggabungkan elemen tahfiz, sains dan teknikal akan dibangunkan di negeri ini bagi mengembalikan kecemerlangan pendidikan agama di Kedah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, maahad tahfiz yang dinamakan Maahad Tahfiz Sains Teknikal Kedah itu bakal menjadi projek perintis di Sik, sebelum diperluaskan ke daerah lain.

"Maahad ini bakal menggunakan model Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Kulim dengan sedikit pengubahsuaian. Kita perluaskan kepada bidang vokasional.

“Perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia sudah diadakan untuk mereka terlibat sama dalam program ini susulan terdapat peruntukan dana latihan vokasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 sempena 100 hari pentadbiran Kedah Sejahtera di Seri Mentaloon di sini hari ini.

Menurutnya, Sik dan Kulim akan menjadi hab pengajian tahfiz dan akan diperluaskan mengikut keperluan.

“Berdasarkan keperluan semasa, kita gabungkan aspek teknikal. Pusat tahfiz ini akan menjadi penyambung kepada Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UNISHAM) pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, perancangan membangunkan Pulau Tuba sebagai hab pusat tahfiz seperti dicetuskan Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak pada 2011 terdahulu akan disesuaikan dengan keperluan masa kini.

Artikel Berkaitan:

“Saya difahamkan ada pihak swasta bercadang bangunkan tapak berkenaan. Jika benar, saya sedia beri sokongan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mentransformasikan pengurusan sekolah pondok dan maahad tahfiz di negeri ini supaya lebih teratur.

“Pondok pengajian agama di negeri kita sangat terkenal dan disegani sehingga menarik pelajar daripada luar negara, namun fasiliti dan pengurusan pondok dan maahad tahfiz tidak sepadan dengan namanya.

"Ramai tokoh agamawan dan golongan profesional lahir daripada institusi ini. Amatlah rugi jika dibiarkan institusi pendidikan agama menjadi usang dan tenggelam dek zaman,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri turut mencari pendekatan bagi membolehkan lepasan institusi agama diterima ke aliran perdana di institusi pengajian tinggi awam dan swasta sama ada dalam dan luar negara.