DAP persoal SPRM tidak ambil tindakan terhadap Ikmal

Lim Guan Eng bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.
Lim Guan Eng bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - DAP mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi penjelasan kerana tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang menulis surat sokongan untuk anaknya supaya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah sebuah syarikat milik kerajaan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perbuatan menulis surat sokongan itu terbukti salah guna kuasa, rasuah dan nepotisme yang sedang berlaku dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Guan Eng mendakwa, PN mungkin berharap skandal Timbalan Menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah dilenyapkan begitu sahaja.

Bagaimanapun, katanya, isu berkenaan tidak akan reda selagi siasatan dan tindakan tidak diambil oleh SPRM.

"Tiada keraguan bahawa SPRM perlu menyiasat dan mengambil tindakan kerana Ikmal telah meminta jawatan yang akan menguntungkan anaknya sendiri menggunakan kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.

"Ikmal bukan sahaja telah mengaku bahawa beliau menulis surat sokongan tersebut, malah mengaku bahawa tindakan itu salah dan telah menarik balik surat tersebut.

"Walaupun pelantikan tersebut tidak terjadi, namun jelas di sini bahawa sudah terlambat untuk Ikmal menafikan tanggungjawab kerana beliau sudah pun melakukan tindakan mengeluarkan surat sokongan tersebut untuk mendapatkan habuan bagi anak sendiri," katanya pada sidang akhbar di Pejabat DAP di sini hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, perbuatan untuk mendapatkan habuan tersebut boleh dianggap lengkap apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri yang juga menteri kanan bersetuju dengan cadangan Ikmal untuk melantik anaknya itu.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan tindakan tiga dalam satu iaitu salah guna kuasa, nepotisme dan rasuah, sekali gus merupakan malapetaka negara kerana ada pihak yang menggunakan jawatan awam bagi kepentingan peribadi," katanya.

Setakat ini, Guan Eng berkata, tiada berita atau perkembangan terbaharu daripada SPRM mengenai isu tersebut.

"Semua orang sama di sisi undang-undang tidak kira seorang VIP atau pun rakyat biasa, tidak kira penyokong kerajaan ataupun sebaliknya," katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, SPRM seharusnya mengambil tindakan segera terhadap Ikmal untuk menunjukkan bahawa mereka tidak mengamalkan dasar pilih kasih.