72 peratus Belanjawan 2021 untuk rakyat

Mohd Shahar (empat, kiri) menyampaikan sijil APC PPD Kuantan kepada salah seorang penerima pada Majlis APC di UMP Gambang hari ini.
Mohd Shahar (empat, kiri) menyampaikan sijil APC PPD Kuantan kepada salah seorang penerima pada Majlis APC di UMP Gambang hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 72 peratus daripada RM45 bilion yang diperuntukkan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) koronavirus (Covid-19) minggu lalu, bertujuan membantu rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, peruntukan itu juga bagi memastikan bantuan secara bersasar dapat diteruskan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) diperkenalkan sebelum ini.

Menurutnya, sektor perniagaan pula diperuntukkan sebanyak 12 peratus dan 16 peratus untuk merangsang ekonomi.

"Sebanyak RM30 bilion ditumpukan kepada usaha membantu rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan, di Dewan Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini.

Seramai 578 kakitangan daripada pelbagai peringkat jawatan di bawah Pendidikan Daerah Kuantan (PPD) terpilih untuk menerima anugerah Khidmat cemerlang.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Zaimi Abu Bakar dan Pegawai PPD Kuantan, Miftah Surif.

Terdahulu, Rang Undang-undang itu diluluskan pada 24 Ogos lalu selepas dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan dibahaskan di Parlimen.

Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata, Kementerian Kewangan sudah maklum mengenai masalah rakyat dan melalui program sejak Julai lalu kerajaan mendapatkan gambar jelas mengenai perkara yang diperlukan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu mendengar sendiri apa sebenarnya (bantuan) yang rakyat mahu dan sesi libat urus ini akan diteruskan sebelum pembentangan Belanjawan 2021 dibuat pada awal November depan,"katanya.

Mengulas lanjut mengenai majlis itu, Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, anugerah berkenaan sebagai mengiktiraf jasa dan komitmen yang ditunjukkan kepada kakitangan dalam tugas mereka.

Beliau berharap khidmat cemerlang ini bukan hanya mahu mendapatkan ganjaran anugerah sebaliknya menjadi amalan dan budaya kerja setiap kakitangan.

"Kakitangan yang terpilih menerima anugerah diharapkan dapat menjadi teladan kepada rakan sejawatan di tempat kerja masing-masing," katanya.